KUALA LUMPUR,  Rakyat Malaysia, khasnya peminat memberi sokongan moral kepada penyanyi terkenal negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang mengumumkan beliau keguguran.


Pagi tadi, melalui status baru di akaun Instagram miliknya, Siti mengumumkan beliau keguguran, ketika kandungannya berusia dua bulan.

“Ternyata Allah SWT pinjamkan anugerah ini untuk seketika.

“Siti reda dan jauh di sudut hati amat bersyukur kerana Allah SWT memberi jawapan di atas doa Siti. Insha Allah, semoga ia menjadi satu permulaan untuk anugerah seterusnya,” demikian tulis Siti di @ctdk.

Penyanyi berusia 36 tahun itu bagaimanapun memberi jaminan kepada peminatnya, beliau dalam keadaan baik dan akan meneruskan kerjayanya, selepas berehat seketika.

“Selepas habis proses berpantang ini, Siti akan menjalani kegiatan seni dan harian seperti biasa.

“Sekali lagi, untuk semua sahabat, peminat dan followers saya, teruskan doa yang terbaik ya. Mana tahu dalam berjuta, ada yang makbul doanya.

“Buat masa ini, saya memohon pengertian semua pihak untuk mengizinkan saya berehat sebelum mula bekerja seperti biasa,” demikian tulisnya.

Catatan terbaru Siti itu mendapat hampir 20,000 like yang disertakan dengan ratusan mesej buat penyanyi terbabit.

Seorang pengguna Instagram, @Smoga Kak ct tabah dan dmudahkan kelak nanti.sma2 kits bdoa insyallah maha pencipta adalah perancang yg tebaik.”

Seorang lagi pengguna, @missysuzycloset berkata: “Ya Allah! Sungguh tenang & tabah Dato @ctdk . Tp sy tahu jauh di sudut hati hanya Allah & Dato yg tahu.”

Sebelum ini, berita mengenai kehamilan Siti heboh diperkatakan dalam akhbar-akhbar utama, portal berita dan juga blog, susulan sekeping gambar yang mempunyai maksud tersembunyi dimuat naik penyanyi itu ke akaun Instagramnya.

Bagaimanapun, Siti tidak menafikan atau mengiyakan berita mengenai kehamilannya itu sehingga hari ini.
Penyanyi yang terkenal dengan dendangan Cindai dan Aku Cinta Padamu itu, berkahwin kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006.

Pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata sepanjang sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan, bagaimanapun Siti memainkan peranan ibu tiri kepada anak-anak Khalid hasil perkahwinan terdahulu.