SHAH ALAM – Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini menegaskan tidak akan sesekali meninggalkan Umno meskipun dilihat sedang menongkah arus menentang pemimpin nombor satu parti itu.
Kata Khairuddin, tindakannya itu dilakukan kerana terlalu sayangkan parti dan bagi menjamin Umno terus kekal relevan hingga akhir hayat.
“Saya dilahirkan dalam keluarga pejuang Umno, pengasas Umno. Darah yang mengalir dalam tubuh saya adalah darah Umno dan saya sama sekali tidak akan tinggalkan parti ini untuk menganggotai parti-parti politik lain untuk teruskan perjuangan saya.
“Perkara itu tidak akan berlaku. Perjuangan kita yang minta Najib Razak (Datuk Seri Najib Razak) berundur dan sebagainya itu kerana kita sayangkan parti Umno kerana kita nak menjamin agar parti ini kekal relevan hingga akhir hayat kita,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Pada 12 Oktober lalu, Khairuddin, 53, dan Matthias atau nama sebenarnya Chang Wen Chieh Matthias, 65, bersama-sama didakwa dengan niat melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di beberapa lokasi antara 28 Jun 2015 hingga 24 Ogos 2015.
Namun mereka dilepaskan dengan jaminan RM10,000 selepas Mahkamah Tinggi memutuskan pertuduhan yang dihadapi mereka tidak tergolong di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma).
Mengulas lanjut, suami kepada pelakon terkenal, Datin Seri Umie Aida ini juga menyatakan bahawa beliau akan setia bersama parti itu meskipun ia sudah tidak lagi relevan.
“Andai kata saya tidak dipecat, walaupun Umno sudah menjadi tidak relevan, saya rasa ini sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan semula Umno.
“Saya rasa sekiranya kita mempunyai niat yang ikhlas untuk membetulkan semula Umno, strukturkan semula Umno untuk kebaikan orang Melayu dan keseluruhan rakyat di tanah air kita, walaupun Umno ditolak tapi lambat laun rakyat akan terima kita balik,” katanya.
Keyakinan itu bersandarkan situasi yang dilalui parti pemerintah di India dan Jepun di mana parti Kongres dan LDP ditolak sekejap sebelum dipilih semula oleh rakyat.
“Saya rasa kita tak harus ada sikap kecewa dan putus asa... yang pentingnya adalah asasnya kena ikhlas untuk perbetulkan apa yang tidak betul dalam Umno supaya keseluruhan rakyat bukan sahaja bangsa Melayu, bangsa-bangsa lain pun dapat menerima Umno sebagai tonggak pemerintahan BN di Malaysia,” katanya.
Malah anak saudara veteran Umno, Sulaiman Palestine ini juga mengakui tidak pernah menyesal menongkah arus yang menyebabkan beliau kehilangan jawatan dalam parti.
"Saya dilahirkan dalam keluarga pejuang. Dalam keluarga saya, perkataan kecewa tidak wujud dalam kamus kami kerana niat kami ikhlas. Kerana saya terlalu sayangkan kepada Umno, saya buat yang terbaik mungkin kerana nak menjamin keseluruhan rakyat tidak menolak Umno.
“Saya lebih rela menolak Presiden Umno untuk menjamin Umno terus ‘survive’ hingga ke akhir zaman daripada kita tengok Umno runtuh kerana ditolak oleh rakyat. Sekiranya perkara itu berlaku, ia merupakan malapetaka kepada keseluruhan bangsa Melayu dan akan mengecewakan saya,” katanya.
1 ulasan:
Catat Ulasan