KUALA LUMPUR - "Saya hairan, sebuah parti yang memerintah negara, yang menjadi tulang belakang kerajaan boleh memerintah macam pasar," bidas bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman.
Hamidah adalah antara sembilan ketua Umno bahagian yang dipanggil menghadap Jawatankuasa Disiplin Umno di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Hamidah menambaha, sebagai sebuah parti yang dominan, Umno sepatutnya menonjolkan pentadbiran yang lebih teratur.
"Saya rasa penggunaan perkataan "pasar" adalah perkataan yang sesuai. Kalau KJ (Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin) kata Umno bukan pasar, saya akan tetap katakan yang Umno macam pasar.
"Ini kerana cara pengurusannya macam pasar," katanya lagi.
Hamidah dalam pada itu turut meluahkan rasa keliru terhadap sebab yang diberikan atas pemecatan beliau.
"Saya dikatakan dipecat kerana saya menjemput Tun M (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) ke sebuah program. Sebelum saya dipecat, saya diberikan surat tunjuk sebab yang memerlukan saya untuk menjawab atas sebab apa saya tidak perlu dikenakan tindakan.
"Saya tidak dipanggil ke Lembaga Disiplin dan saya hanya dapat tahu saya dipecat melalui berita dan kawan-kawan. Kemudian saya lagi terkejut apabila Setiausaha Agung (Tengku Adnan Tengku Mansor) mengatakan saya dipecat kerana berada di pentas pembangkang, Jadi ini adalah satu yang mengelirukan," jelasnya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Wanita Umno Gopeng dipecat]
Menurut Hamidah, beliau juga tidak mendapat surat rasmi pemecatannya dan hanya mendapat tahu perkara tersebut menerusi berita dan pengumuman Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang berlaku pada 24 November lalu.
"Jadi sehingga ke hari ini, saya anggap saya masih ahli Umno dan masih merupakan ketua Umno bahagian. Saya juga akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno nanti (minggu hadapan).
"Selagi tidak ada hitam putih(surat rasmi), saya masih merupakan ahli Umno," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan