KUALA LUMPUR,  Wartawan Al Jazeera, Mary Ann Jolley tidak dibenarkan memasuki Malaysia, kerana tindakannya boleh memudaratkan keselamatan negara dan ketenteraman awam, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


“Akta Imigresen 1959/63 memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Imigresen menyekat kemasukan mana-mana warganegara asing ke Malaysia, setelah mempercayai individu berkenaan boleh membawa kemudaratan kepada keselamatan negara,” kata Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen PKR-Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian yang meminta kerajaan menyatakan alasan tidak membenarkan wartawan terbabit masuk ke negara ini.

Saluran televisyen itu bertindak menyiarkan rancangan ‘101 East – Murder in Malaysia’ oleh Jolley yang mengupas kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, September lalu.

Hee turut meminta Ahmad Zahid menjelaskan sama ada siasatan terhadap Sirul Azhar Umar yang didakwa membunuh Altantuya telah ditutup, disebabkan beliau melarikan diri ke Australia.

Tegas Ahmad Zahid, siasatan kes itu melibatkan Sirul Azhar telah selesai dan hukuman juga telah dijatuhkan Mahkamah Persekutuan kepada tertuduh.

“Sehubungan itu, tidak timbul lagi isu berkaitan penutupan siasatan kes berkenaan,” katanya.