HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

Isu lambang pun Anwar gagal satukan pembangkang, UMNO bakal menang mudah


Belum pun mula Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah gagal menyatukan parti pembangkang untuk duduk mencapai persefahaman berhubung isu lambang.

Isu penggunaan lambang yang gagal diselesaikan sekaligus memperlihatkan betapa lemahnya Ketua Pembangkang tersebut, ia seakan Anwar bukan lagi seorang ketua yang dihormati parti-parti yang berada dalam Pakatan Harapan (PH).

Bahkan, ia mencerminkan sikap Anwar yang terlalu mementingkan diri sendiri walhal jika secara konsensus sepatutnya lambang rasmi PH yang dipilih untuk digunakan dalam PRN Johor kerana DAP dan Amanah masing-masing sudah bersetuju untuk kekal menggunakan lambang tersebut.

Hanya Anwar yang bertegas untuk menggunakan lambang PKR, sepatutnya keputusan majoriti yang menentukan hala tuju gabungan tersebut.

Bagaimanapun, Anwar hanya melihat kepentingan PKR berbanding kepentingan untuk bergerak sebagai satu pasukan bagi melawan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bahkan Anwar seakan tidak berpuas hati apabila pandangan disuarakan supaya PH menimbang membuka pintu rundingan dengan Bersatu, bekas rakan parti dalam PH sebelum ini. Awal-awal lagi Anwar dengan nada tegas menolak cadangan tersebut.

Cadangan tersebut datang daripada pemimpin PH Johor sendiri, dua pemimpin parti Amanah sudah menyuarakan cadangan tersebut yang bertujuan mengelak episod kekalahan teruk di Melaka berulang lagi.

Nampaknya Presiden PKR itu masih tidak berpijak atas bumi yang nyata, realitinya jika berlaku pertembungan banyak penjuru seperti di Melaka sudah pasti UMNO akan memperoleh satu lagi kemenangan besar.

Alasan dangkal yang diberikan kononnya lambang PH tidak mempunyai nilai komersil untuk menarik sokongan pengundi adalah tidak masuk akal sekali, realitinya dua PRN di Melaka dan Sarawak menyaksikan PKR tewas teruk. Tiada satu pun kerusi dimenangi parti tersebut.

Jika alasan tersebut diberikan, adakah dengan keputusan dua PRN tersebut menunjukkan lambang PKR tersebut mempunyai tarikan untuk mendapat sokongan pengundi?

Tidak pasti Anwar membuat penilaian tersebut daripada sudut politik yang mana satu, tidak mustahil juga beliau masih termakan dengan nasihat anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

Keputusan dalam isu lambang ini juga merupakan cerminan episod sama yang berulang semasa di Melaka apabila Anwar berdegil untuk meneruskan strategi dengan meletak dua orang calon bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bertanding atas tiket PKR.

Keputusan tersebut mendapat tentangan keras DAP, namun Anwar masih keras kepala dan membuat keputusan mengikut kepalanya sendiri sehingga akhirnya menyaksikan PKR tersungkur di Melaka.
Hasilnya DAP dan Amanah juga terkena tempias apabila kalah banyak kerusi yang dimenangi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam PRN Melaka lalu, PKR meletakkan calon paling ramai berbanding sekutunya dalam PH sebanyak 11 calon.

Berdasarkan daripada senario awal ini, PKR dijangka bakal meletakkan calon paling ramai di Johor seperti PRN Melaka tempoh hari dengan mengambil kerusi yang sebelum ini ditandingi calon Bersatu semasa berada dalam PH.

PKR yakin akan dapat menambah kerusi dengan melawan calon Bersatu, untuk rekod Bersatu memiliki 11 kerusi selepas PRU-14 lalu.

11 kerusi tersebut pasti akan diintai PKR yang berkeyakinan untuk merampasnya daripada Bersatu.

Perkara sama yang berlaku semasa PRN Melaka, Anwar pada mulanya yakin PKR akan dapat menewaskan Bersatu di kerusi yang ditandingi calonnya, ia bagaimanapun menyaksikan undi terpecah banyak ekoran banyak pertembungan tiga penjuru atau lebih dan akhirnya UMNO menjadi pemenang terbesar.

Lebih malang lagi, undi popular PH merosot daripada 51% kepada 36% sahaja (akibat kadar turun mengundi rendah) semasa PRN Melaka.

Dalam keadaan parti pembangkang tidak bersatu padu, tidak mustahil episod sama di Melaka bakal berulang di Johor, walaupun tanpa undi popular memihak kepada UMNO tetapi kemenangan besar masih menjadi milik UMNO.

Keangkuhan dan sikap keras kepala Anwar berkompromi demi satu misi untuk menidakkan kemenangan bakal membawa satu lagi malapetaka dan ia akan memberi kemenangan yang selesa kepada UMNO nanti dalam PRN Johor.

Tiada ulasan: