HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

Tak bertanding PRN, Muhyiddin mempunyai banyak masa tumpu pengurusan jentera


Keputusan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan memberinya banyak lebih masa untuk menumpukan kepada aspek pengurusan jentera parti bagi menghadapi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) semalam mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang disandangnya selepas menang semasa Pilihan Raya Umum Ke-4 lalu.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri menjelaskan pengalaman yang dimiliki Muhyiddin dalam arena politik akan dapat dicurahkan sebaiknya kepada calon-calon yang akan bertanding dalam PRN Johor nanti.

“Bersatu Johor yakin, sebagai ahli politik dan pemimpin parti yang berpengalaman mengarahkan pengurusan pilihan raya kecil, PRN serta PRU, YB Tan Sri Muhyiddin mampu memberi kemenangan kepada calon-calon PN dalam PRN ini.

“Jadi inilah kesan positif tindakan YB Tan Sri Muhyiddin kepada Bersatu Johor dan akhirnya meraih kemenangan pada PRN Johor dan seterusnya pada PRU ke-15,” katanya dalam satu kenyataan.

Apabila tidak terikat sebagai calon dalam PRN, Solihan berkata Muhyiddin akan dapat fokus sepenuhnya dalam menguruskan jentera parti bagi menghadapi saingan semasa PRN Johor nanti.

“Tanpa terikat sebagai calon, mantan perdana menteri ke-8 itu boleh memberi fokus sepenuhnya tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor.

“Muhyiddin berpendirian, dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan UMNO yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas PRU-15 akan datang,” katanya lagi.

Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 22 Jan, memberi laluan kepada pilihan raya baru diadakan dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 9 Feb untuk memutuskan tarikh penting bagi pilihan raya termasuk tarikh pengundian

Tiada ulasan: