HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

Pas ajak berkawan tapi tak henti menyerang serupa lawan – Shahril

SHAHRIL HAMDAN

TINDAKAN pemimpin Pas yang menyerang UMNO secara berterusan menimbulkan pelbagai pertikaian ramai kerana bersikap seperti lawan berbanding kawan.

Terbaru, giliran anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mohktar Senik pula menggasak dengan kritikan-kritikan keras terhadap UMNO.

Tindakan Mokhtar itu mendapat perhatian Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang menyifatkan serangan tersebut sebagai tidak relevan.

“Jika hendak beri pandangan, eloklah dibuat secara berhemah. UMNO ialah parti sendiri yang akan buat keputusannya sendiri.

“Tiada halangan untuk parti lain beri pandangan tetapi biarlah lebih cermat dan tidak seperti mengajar UMNO apa yang kita boleh buat atau tidak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Shahril Sufian, anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mengambil pandangan pelbagai dalam kalangan parti dan membuat ketetapan.

Begitupun, tegasnya, UMNO tidak akan sama sekali tunduk kepada tekanan parti luar.

“PAS juga parti politik yang ada cita-cita dan aspirasi. Itu hak PAS. UMNO tidak pernah menghalang atau memperlekeh hak dan cita-cita parti lain, malah mengiktirafnya.

“Sebab itu kami sentiasa kerja kuat dan tidak memandang remeh kemampuan parti lain. Jadi amat tidak manis rasanya untuk orang UMNO apabila Mokhtar pula memperlekeh kemampuan parti kami,” katanya.

Mengulas mengenai Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor, Shahril Sufian berkata, kepimpinan tertinggi UMNO di negeri dan pusat akan memuktamadkan keputusan mengenai sebarang kerjasama dengan parti lain selepas melakukan kajian.

Tegas beliau, rancangan untuk bekerjasama dengan parti lain mungkin menjadi sukar sekiranya terdapat pemimpin yang bersuara sumbang terhadap UMNO.

“Jangan salahkan UMNO jika kenyataan seperti Mokhtar ini menyempitkan ruang kerjasama dengan kawan yang menyerang serupa lawan,” katanya.

Tiada ulasan: