HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

Mazlan jawab spekulasi keluar Bersatu esok


Spekulasi berhubung dakwaan bakal meninggalkan Bersatu akan dijawab Ketua Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang dalam sidang media esok.

Mazlan yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya berkata akan membuat penjelasan berhubung khabar angin tersebut selepas didakwa mahu meninggalkan parti dan menyertai parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Tunggulah esok sidang media. Ya semuanya akan terjawab esok,” katanya menurut laporan media.

Satu sidang media khas dijadualkan akan berlangsung pada 2 petang esok di bangunan bersebelahan Pejabat Umno Johor dan Mazlan mengesahkan kehadirannya pada sidang media itu.

Menurut sumber, difahamkan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu dijangka menyertai Mazlan dan turut hadir dalam sidang media esok.

Sejak beberapa hari lalu, khabar angin kuat terutama dalam kalangan ahli politik Johor mengaitkan bekas ADUN Puteri Wangsa dan bekas Ketua Bersatu Johor akan meninggalkan Bersatu dan menyertai parti lain.

Terdahulu, pada Isnin Mazlan menafikan akan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN Johor dan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mazlan meraih 37,545 undi bagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, menewaskan empat pencabarnya iaitu Abd Aziz Tohak daripada BN, Abdullah Husin (PAS), Lim Yak Hong dan Ting Choon Hai (masing-masing Bebas).

Tiada ulasan: