HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

Ustaz ajak kawan tapi serang macam lawan: Shahril bidas Mokhtar Senik


Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan menegur sikap Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik yang menyerang UMNO, dan pada masa sama parti Islam itu ingin pula menjalin kerjasama.

Beliau juga mengingatkan PAS supaya tidak menyalahkan UMNO sekiranya kenyataan seperti yang dibuat Mokhtar itu akan menyempitkan ruang kerjasama kedua-dua parti pada masa depan.

“Namun, jangan salahkan UMNO jika kenyataan seperti Ustaz Mokhtar ini menyempitkan ruang untuk hendak bekerjasama dengan kawan yang menyerang serupa lawan.

“Hari ini (semalam), Ustaz Mokhtar Senik, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat keluarkan kenyataan menyerang UMNO.

“Setiap yang dikatakan pasti menyinggung hati ahli UMNO. Dan pelbagai lagi tuduhan, tohmahan dan ‘tunjuk ajar’,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Sambil mengingatkan bahawa UMNO tidak akan tunduk kepada tekanan parti luar, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda menegur Mokhtar supaya lebih cermat dan berhemah dalam memberi pandangan.

Menurutnya UMNO tidak pernah menghalang atau memperlekeh hak dan cita-cita parti lain, malah mengiktirafnya.

“Sebab itulah kami sentiasa kerja kuat dan tak memandang remeh kemampuan parti lain. Jadi amat tidak manis rasanya untuk orang UMNO apabila Ustaz Mokhtar pula memperlekeh kemampuan parti kami,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, dalam isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kepimpinan tertinggi UMNO di negeri dan pusat – Pengerusi Perhubungan mahupun Timbalan Presiden – menyebut bahawa parti akan mengkaji dan memuktamadkan sebarang keputusan sama ada bekerjasama dengan parti lain atau tidak.

Mokhtar yang dilihat keras terhadap UMNO pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam menyifatkan parti itu telah kembali dirasuk sifat asal iaitu tamak kuasa dan rakus.

Menurutnya keghairahan UMNO semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri daripada Bersatu kepada UMNO, disusuli dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dan kini cuba menguasai Johor. Berita berkaitan

Susulan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditumbangkan Zahid dan 14 konconya tahun lalu, Mokhtar juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah memberi peringatan kepada rakan-rakannya supaya berwaspada dengan individu tersebut yang tidak disebutkan namanya.

Menurutnya langkah, fikrah, kata-kata dan karakter individu terbabit sudah lama menggambarkan individu itu akan mengkhianati kerajaan PN.

Mokhtar juga dilaporkan berkata beliau menyaksikan sendiri Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dipeluk oleh individu terbabit dan dia menyaksikan wajah pemimpin UMNO itu.

“Wallahi saat itu hati saya tidak percaya dengan kamu. Saat teman-teman saya memuji-muji kamu, saya kawal lidah agar tidak memuji sama. Maaf, hati saya tetap ragu dengan lirik wajah senyum sinismu,” kata Mokhtar.

Tiada ulasan: