HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

PKR guna logo sendiri: Amanah, DAP seakan berkecil hati

MALAYSIA POST

PKR guna logo sendiri: Amanah, DAP seakan berkecil hati

AMANAH dan DAP seakan berkecil hati susulan keputusan PKR menggunakan logo sendiri, bukan lambang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Malah, kedua-dua parti itu berpendapat setiap parti komponen PH perlu ‘duduk bersama-sama’ sewaktu susah mahupun senang.

Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan bersama, berkata sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP mahu semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang.

“Satu logo bersama amat penting untuk meyakinkan pengundi bahawa PH serius untuk menjadi kerajaan, dan berusaha bergerak bersama sebagai satu pasukan dalam pilihan raya.

“Pengundi atas pagar lazimnya akan memberi sokongan positif kepada mana-mana gabungan yang mereka yakin mampu menang serta dilihat bekerjasama sebagai satu pasukan walaupun ada beberapa perbezaan antara mereka,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, dengan menggunakan satu logo bersama, ia akan memudahkan pengundi melihat Amanah, DAP, PKR and UPKO sebagai satu gabungan PH yang padu menghadapi pilihan raya.

Justeru, katanya, Amanah dan DAP akan terus menggunakan logo PH sebagai tanda perpaduan yang mencerminkan iltizam masa hadapan serta aspirasi untuk membentuk kerajaan melalui sebuah gabungan yang bersatu padu.

Jelas mereka, sepanjang 65 tahun Merdeka, kerajaan yang memerintah sentiasa terdiri daripada gabungan parti-parti politik.

“Tidak pernah ada sebuah parti yang menang bersendirian atau berhak memerintah sendiri. Kerana itulah Umno sentiasa bersama dengan Barisan Nasional dan terus menggunakan logo BN walaupun ia merupakan parti yang dominan di negara ini sejak beberapa dekad lalu,” katanya.

Mengulas lanjut mereka berkata, PH telah membuat keputusan untuk menggunakan logo bersama pada April 2018 selepas berkali-kali mengadakan rundingan.

“Apabila memenangi pilihan raya umum 2018, PH akhirnya didaftarkan dengan logonya sendiri. Malah untuk kembali ke arena politik, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggunakan logo PH untuk memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober 2018.

“Pengecualian menggunakan logo ini (PH) hanya diberikan kepada parti-parti komponen PH di Sabah dan Sarawak atas dasar status istimewa serta kuasa autonomi wilayah-wilayah Borneo ini,” katanya.

Dalam pada itu mereka berkata, Amanah dan DAP tetap menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor. – Malaysiapost

Tiada ulasan: