HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

Pengurusan mantap kerajaan malapkan masa depan PH

ADA dua perkembangan besar berlaku sepanjang minggu lalu yang dipercayai akan banyak mempengaruhi masa depan politik dan negara dalam waktu terdekat ini. Perkembangan seumpama ini jangan dipandang remeh kerana ia sesungguhnya berimpak besar dan bakal mempengaruhi sentimen dan sokongan rakyat.

Pertama adalah sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini yang dipanggil untuk membincangkan isu banjir besar yang melanda negara bermula 18 Disember lalu. Sidang ini membuktikan keterbukaan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub yang sanggup memikul pertanggungjawaban menjelaskan pada rakyat apa yang sebenarnya berlaku serta langkah-langkah segera dan jangka panjang yang diambil kerajaan.

Banjir ‘luar biasa’ yang melanda sebahagian besar Pantai Barat khasnya di Lembah Kelang itu telah teruk menjejaskan kehidupan rakyat sehingga mencetuskan kemarahan dan pelbagai ketidakpuasan-hati disemarakkan pula dengan mainan media sosial yang cukup hebat mengadu-domba. 

Kerja-kerja menuding jari dan menyalahkan Kerajaan Persekutuan menjadi-jadi sehingga kerajaan dilihat seolah lumpuh dan tidak bermaya menguruskan bencana yang menimpa rakyat ini. Itulah sebenarnya yang mahu digambarkan oleh pihak pembangkang.

Walau bagaimanapun beberapa hari selepas insiden, kemarahan yang meluap-luap pada hari pertama kejadian semakin terkawal dan akhirnya reda apabila bantuan dan pertolongan turun mencurah-curah. Kerajaan Persekutuan serta-merta menyalurkan Bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion khusus untuk mangsa-mangsa banjir. Ini merupakan satu angka yang terbesar dalam sejarah dan turut mencipta sejarah juga apabila ia turun ke tangan rakyat dalam kadar yang begitu pantas sekali.

Demikilanlah yang mahu dijelaskan oleh Perdana Menteri dalam sidang khas Dewan Rakyat agar rakyat jelata khasnya mangsa-mangsa yang terjejas mendapatkan gambaran sebenar. 

Tidak benar bahawa Kerajaan Persekutuan lambat atau lembap bertindak, hakikatnya menurut Perdana Menteri suasana kelam kabut tercetus lebih kerana Kerajaan Negeri Selangor, dalam kes Lembah Kelang contohnya, gagal menguruskan kompleksiti banjir bandar dengan cermat dan baik.

Kelemahan dan kegagalan Kerajaan Negeri PH Selangor ini terserlah sehingga mengakibatkan Perdana Menteri sendiri terpaksa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Selangor. Perdana Menteri menyebut di dalam ucapannya di Dewan Rakyat: “Berikutan kelemahan yang dikenal pasti diperingkat negeri dan daerah (di Selangor) menyebabkan saya terpaksa campur tangan.”

Banjir ‘luar biasa’ ini menurut Perdana Menteri lagi juga berlaku di negeri-negeri lain umpamanya di Pahang, malah pada skala yang lebih besar dari Selangor. Tetapi kerana tidak seperti Selangor, Pahang punya jentera pengurusan banjir yang teratur dan bersiap-sedia, bencana di Pahang dapat diuruskan dengan lebih baik berbanding Selangor.

Penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat adalah kronologi sebenar, sehingga membingitkan telinga bangku pembangkang yang lebih gemar bemain politik dan menuding jari.

Apapun rakyat kini dapat melihat dan mengiktiraf kesungguhan dan iltizam Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri dalam menangani bencana ini dan mereka kini tahu bahawa kelemahan pengurusan Kerajaan Negeri PH Selangorlah antara punca utama kesengsaraan dan penderitaan mereka.

PH perlu jujur menerima kelemahan mereka dan segera belajar dari kesilapan itu agar nyawa dan harta benda rakyat tidak lagi terancam kiranya banjir seumpama ini berulang. 

Yang jelasnya pasti peristiwa bencana banjir ini akan menyedarkan rakyat khasnya di Selangor betapa penting kerajaan negeri itu seiringan dengan Kerajaan Persekutuan, jika tidak, bencana banjir pun boleh menjadi bahan politik.

Perkembangan besar yang kedua, adalah nasib yang menimpa blok terbesar parti pembangkang dalam PH iaitu DAP. 

DAP diperakui selama ini oleh para penganalisa dan pemerhati politik sebagai parti tunjang kekuatan dalam PH. Keupayaan parti yang dipimpin anak beranak Lim iaitu Kit Siang dan Guan Eng ini menguasai undi kaum Cina dan bukan-Melayu merupakan faktor penyumbang terbesar pada kemenangan PH dalam PRU ke 14 lalu.

Ada yang berani menyatakan bahawa tanpa DAP, PH jangan harap boleh menang besar. Kunci kekuatan PKR dan PAN sesungguhnya terletak pada DAP.

Tiba-tiba minggu lalu negara dikejutkan apabila pemuka-pemuka dalam parti ini bertindak keluar seorang demi seorang meninggalkan parti ‘roket merah’ itu. Ia bermula dengan bekas EXCO Pulau Pinang Danny Law veteran 35 tahun ahli DAP. Danny menyatakan beliau terpaksa keluar untuk cari hala tuju baru. Adakah DAP sudah kehilangan hala tuju?

Kemudian 2 ADUN DAP Sabah iaitu Justin Wong dan Calvin Chong pula serta seorang bekas Senator Adrian Lasimbang bertindak keluar parti atas alasan hilang kepercayaan pada pucuk pimpinan parti. Mereka mendakwa DAP juga hilang arah tuju perjuangan dan dilanda krisis kepimpinan yang serius. Dengan tindakan mereka itu DAP cuma tinggal 4 wakil di DUN Sabah.

Terkini ADUN Selangor (DUN Teratai) Bryan Lai yang sebelum ini memenangi kerusi DUN berkenaan atas tiket DAP dan bekas Ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi pula bertindak meninggalkan DAP dan menyertai Parti Warisan.

Sebelumnya DAP turut kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak. Di Melaka ia cuma menang 4 dari 8 kerusi ia miliki dalam PRU ke-14 manakala di Sarawak ia cuma menang 2 berbanding 7 kerusi DUN dalam PRN 2016.

Ternyata DAP berhadapan krisis yang besar dengan jumlah sokongan pengundi bukan-Melayu khasnya pengundi Cina terhadap mereka semakin berkurangan sebagaimana dalam PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini. 

Adakah DAP akan mampu bangkit, memperbaiki ‘roket merah’ nya yang semakin bermasalah itu, atau roket tadi akan tersadai menjadi besi buruk sesuai untuk dileburkan?

Jika DAP bermasalah, PH apatah lagi juga akan berhadapan masalah kerana DAP tulang belakangnya. Jika tulang belakang telah retak, tulang-tulang lain seperti PKR dan PAN apalah nasib agaknya?

Kedua-dua perkembangan besar ini menunjukkan rakyat akhirnya akan semakin rapat dan menghampiri ‘Kerajaan Keluarga Malaysia’ sebagai satu-satunya tempat pergantungan buat mereka bagi meniti masa depan seterusnya.

Kerajaan ini berjaya dengan pengurusan di waktu bencana dan kewibawaannya kelihatan menggerhanai parti-parti blok pembangkang yang semakin layu dan berpecah.

Bersama kita mendukung ‘Keluarga Malaysia’, buang yang keruh ambil yang jernih.  – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: