MALAYSIA POST
POLITIK Islam hari ini perlukan lonjakan baharu dengan penguasaan dan kepakaran yang lebih menyerlah dalam perundingan politik ke arah kemajuan negara, kata Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Menurut pemimpin PAS itu, segala kebaikan dan keuntungan yang telah dicapai hasil perpaduan antara parti-parti mestilah dilestarikan agar ia terus menghasilkan ‘buah demi buah’ pada hari depan.
“Kekuatan azam politik yang mencipta Muafakat Nasional (MN) sebagai contoh, masih tidak mencukupi untuk memeliharanya daripada kemungkinan kembali pecah dan terburai ikatannya.
“Kita berjaya menyatukan tetapi tidak berupaya menjaganya dengan baik. Ia kerana kita belum bersedia dengan penguasaan dan kepakaran perundingan dalam menangani krisis yang pasti sahaja boleh berlaku.
“Bukankah perpaduan itu ramai musuh dan penghasadnya? Apa erti rundingan jika perunding asyik pulang membawa api dan kepanasan? Atau lebih teruk, berjalan ke meja rundingan dengan cahaya bebola api yang dilepaskan dari pangkalan masing-masing,” katanya.
Mohamad Abduh berkata, umat Islam menuntut islah dan ihsan ditambahbaik daripada politik Islam (siyasah syarieyah) yang perlu sentiasa disegarkan dengan lonjakan tajdid dan pembaharuan dalam pemikiran dan dakwahnya.
“Walaubagaimanapun, saya doakan keajaiban ini untuk Muafakat Nasional. Semoga nikmat Allah tidak hilang, tidak bertukar keafiatannya dan dikejutkan dengan kecelakaan ke atasnya,” katanya.- Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan