HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

‘Mahu BN kembali berkuasa, bukan untuk selamatkan diri’ – Zahid

MALAYSIA POST

‘Mahu BN kembali berkuasa, bukan untuk selamatkan diri’ – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kesal tindakan pihak tertentu yang masih menggunakan propaganda mendakwa beliau berusaha mengembalikan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mahu menyelamatkan diri daripada kes mahkamah.

Ahmad Zahid berkata, pihak terbabit juga mendakwa beliau seorang yang tamak kuasa dan mahu kerjasama Umno-BN dengan Bersatu berakhir, termasuk dengan menarik balik sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Ahmad Zahid, beliau kini menggunakan mahkamah bagi membersihkan nama atas dakwaan-dakwaan yang dikenakan terhadap dirinya, dan bukan untuk mengambil kesempatan sekiranya Umno-BN kembali mentadbir.

Tegasnya, itu adalah tanggungjawab beliau sebagai Presiden untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan Umno-BN.

“Biar saya terangkan apa yang saya pernah berulang kali nyatakan sejak awal bahawa sesungguhnya saya bertekad untuk membersihkan nama saya di mahkamah.

“Biarpun ramai berpandangan ia adalah pendakwaan politik dan terpilih selepas Umno-BN tewas PRU14 angkara fitnah dan pembohongan, beranilah atas nama kebenaran.

“Jika saya dan beberapa lagi pemimpin Umno tiada ketabahan dan keazaman itu, pasti jauh berbeza keadaan kami ketika ini lebih selesa namun tunduk, layu dan lesu.

“Dalam keadaan pimpinan Umno-BN seperti itu, mampukah Umno-BN bangkit dalam tempoh yang singkat seperti yang kita saksikan pada waktu ini? Sesungguhnya saya terima dakwaan sedang berusaha mengembalikan kerajaan Umno-BN kerana itulah tanggungjawab serta fungsi Presiden Umno dan Pengerusi BN,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, tidak sesekali dirinya selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno akan membenarkan parti milik rakyat, itu hilang jati dirinya.

“Apatah membiarkan ia melukut di tepi gantang tidak berdaya dan tidak berguna, tidak mampu membantu, malah tidak lagi dihirau gara-gara kehilangan kuasa.

“Mungkin ini jua ketentuan Ilahi. Asbab untuk perjuangan demi agama, bangsa, tanah air serta kebenaran semakin bersemarak dalam roh dan jasad parti ini.

“InsyaAllah selagi ada kudrat kurniaan Tuhan, perjuangan untuk kebangkitan mutlak Umno-BN bersama seluruh pimpinan dan ahli akar umbi akan terus berlaku,” katanya.

Tambahnya, tindakan beliau itu bukan kerana kes mahkamah, tetapi atas amanah yang diberikan serta demi kesejahteraan dan kemakmuran dikembalikan di negara ini.

“Sebagai hambaNya kepada Allah SWT juga kita memanjatkan doa dan pertolongan selepas segala saya upaya. Umno-BN kembali sebagai teras pentadbiran negara,” katanya. Malaysiapost

Tiada ulasan: