HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

PRN Johor: UMNO berbohong kata PAS tolak kerusi ditawarkan


Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ada pihak yang berbohong dengan mendakwa parti itu menolak kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Malah, menurutnya sehingga kini belum ada sebarang rundingan berhubung pembahagian kerusi untuk PRN Johor itu.

“Jika ada pihak yang mendakwa PAS telah menolak kerusi yang mereka tawarkan kepada PAS atas sebab apa sekalipun, sesungguhnya dia telah berbohong,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau tidak menyebut pihak mana yang berbohong dan menawarkan kerusi itu, namun ia dipercayai merujuk kepada kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Sebelum ini, Hasni menerusi klip video yang dimuat naik dalam media sosial mengatakan UMNO Johor menawarkan empat kerusi kepada PAS tetapi ditolak oleh parti Islam itu.

Hasni mendakwa PAS lebih berminat terhadap tawaran 15 kerusi oleh Bersatu. Dakwaan ini dipercayai telah dibuat pada Mac tahun lalu.

Kelmarin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengkritik PAS yang meminta semua kerusi Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) berbanding empat kerusi yang ditawarkan jika mahu bekerjasama dalam PRN Johor akan datang.

“Seingat saya semua kerusi yang BN kalah pada PRU14, PAS juga tanding, PAS pun kalah. Kesemuanya PAS kalah pada BN. Jadi apa logik yang dipakai tuntut kerusi tersebut PAS bertanding di 40 kerusi, semua kalah kepada UMNO (berdasar kiraan undi siapa tinggi) kecuali satu (DUN Bukit Pasir),” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata pembohongan itu bertujuan menimbulkan kebencian dalam kalangan parti terbabit.

Malah katanya dengan melakukan pembohongan itu pihak terbabit juga sedang menyemai bibit-bibit kebencian dan perpecahan dalam kalangan ummah.

“Berbohong tentang sikap PAS yang digambarkan sebagai tamak di hadapan jentera mereka sendiri tidak lain hanya bertujuan menimbulkan kebencian penyokong mereka kepada PAS.

“Jika mereka menyemai kebencian dengan bercakap bohong, adakah akan tumbuh pernyatuan? Tidak! Mereka sedang mengusahakan perpecahan,” katanya.

Tiada ulasan: