HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Januari 2022

‘Mazlan keluar Bersatu, bukan masalah besar’ – Chegu Bard

MALAYSIA POST

‘Mazlan keluar Bersatu, bukan masalah besar’ – Chegu Bard

BERSATU Johor mengakui tidak terkesan dengan keputusan Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar parti, hari ini.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin, berkata beliau tidak pelik dengan tindakan Mazlan berkenaan kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu sudah lama tidak terbabit dengan aktiviti Bersatu.

Badrul Hisham berkata, Mazlan sudah lama ‘hilang dari radar’ dan aspirasi Bersatu kerana lebih suka bersama parti Umno di kawasan terbabit.

“Bagi kami di Johor biarpun Mazlan hari ini mengumumkan beliau keluar parti, itu bukanlah masalah besar.

“Malah, kerja politik menyantuni rakyat dan pengundi bagi pihak Bersatu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa sudah lama diambil alih oleh parti sejak sekian lama,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Jelasnya lagi, keputusan Mazlan itu tidak menambah atau mengurangkan sokongan rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan terhadap parti.

“Saya bukan kata bagus dia buat macam itu (keluar parti) tetapi Bersatu memang tidak terjejas jika beliau keluar parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham juga mengesahkan Mazlan membuat kenyataan enggan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN Johor kali ini adalah kerana beliau tidak sebulu dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu Johor.

Badrul Hisham mendakwa, Mazlan memilih untuk mengasingkan diri daripada Bersatu kerana merasakan dirinya pemimpin hebat dan paling layak menjadi Menteri Besar Johor suatu ketika dulu.

“Bagi saya Mazlan beranggapan dia ada kelas tersendiri dalam politik dan paling hebat tetapi tidak mengapa kita biarkan sahaja.

“Saya juga mahu melihat parti mana sanggup ambil dia menjadi calon dalam PRN Johor kali ini walaupun kemungkinan besar tiada satu pun sudi berbuat demikian.

“Saya rasa tiada satu parti pun sanggup ambil Mazlan menjadi calon mereka, jika dia mahu bertanding pun mungkin atas tiket bebas dan akan kalah,” katanya.

Menurutnya, Bersatu kawasan tersebut sudah sedia dari awal mempersiapkan jentera sendiri dan kini kawasan Tebrau dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian iaitu Kamaruzzam Abu yang sebelum ini aktif sebagai Pengarah Pilihan Paya Bersatu Tebrau.

Terdahulu, Mazlan mengumumkan meletak jawatan ketua bahagian, sekali gus keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan berkata, beliau bagaimanapun tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras. – Malaysiapost

Tiada ulasan: