HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

BN bukan ‘main-main’ nak PRN – Tok Mat

MALAYSIA POST

BN bukan ‘main-main’ nak PRN – Tok Mat

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan bagi menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang sah dan memiliki majoriti.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno menjelaskan ini kerana banyak pihak mempersoal kesahihan kerajaan negeri sedia ada, selain majoriti tipis dimiliki BN yang turut disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN).

“Inilah tujuan utama mengapa PRN Johor diadakan… kerana kita nak mengembalikan mandat kepada rakyat supaya kerajaan negeri tidak lagi dipersoalkan kesahihannya.

“Tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan yang diberi mandat itu lebih penting, kita bukan main-main nak adakan PRN di Johor, tetapi ia perlu diadakan kerana sering dipersoalkan kesahihannya.

“Sebab itu kita serah kepada rakyat Johor pilihlah kerajaan yang dapat mandat dan majoriti yang baik, kita tak boleh ada kerajaan yang sentiasa diugut dan tiada masa sepenuhnya untuk agenda membangunkan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perjumpaan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN Johor di bangunan Umno di Johor Bahru hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Hasni Mohamad.

Mengulas majlis itu, Mohamad berkata ia perjumpaan mesra untuk memberi semangat kepada jentera BN bagi menghadapi PRN.

Menurutnya, gerak kerja jentera yang tersusun amat penting terutama bergerak secara berpasukan sesama parti komponen.

“Kita tidak mahu jentera bergerak berasingan, Umno bawa diri sendiri, begitu MCA dan MIC. Kita mahu semua jentera bergerak secara berpasukan,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: