Nuzuluddin Abdul Razak
Timbalan
Ketua Menteri Sarawak yang baharu Dr Sim berikrar akan bekerja keras
untuk kebaikan seluruh anak Sarawak tanpa mengira kaum dan keturunan. -
Foto Bernama
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berazam untuk mencurahkan bakti melalui perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat Sarawak termasuk masyarakat Cina di negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah itu berjanji akan menghormati kepercayaan yang diberikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu di samping barisan kabinet kerajaan negeri yang lain.
“Saya tidak sabar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bersama barisan kabinet kerajaan negeri dan rakyat Sarawak, dan bekerja keras untuk kebaikan anak-anak Sarawak termasuk komuniti Cina di Sarawak.
“Marilah kita mulakan usaha ini, bersama anda, untuk anda, majulah Sarawak,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebooknya pada Khamis.
Presiden Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) itu juga dilantik sebagai Menteri Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan.
Jelas Sim, jawatan yang diberikan kepadanya adalah amanah dan pada masa sama memberi kesan mendalam kepadanya yang mewarisi darah politik daripada mendiang bapanya
“Mendiang ayah saya Tan Sri Datuk Amar Sim Kheng Hong mula dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan pada 1970 dan Timbalan Ketua Menteri pada 1974 di bawah Ketua Menteri Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub dan kemudiannya Ketua Menteri Tun Abdul Taib Mahmud.
“Saya pula dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan pada 2016 dan menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak pada 2021 di bawah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan kini Ketua Menteri Abang Johari kedua-duanya adalah rakan sekerja mendiang ayah saya dalam kabinet,” katanya.
Tambah Dr Sim beliau dan ayahnya memulakan langkah dalam karier politik daripada laluan yang berbeza.
“Ayah saya ialah seorang kontraktor, kemudiannya menjadi usahawan kayu yang berjaya sebelum menyertai politik.
"Saya pula bertuah kerana menjadi pakar kardiologi dan penyelidik klinikal hospital awam yang memegang jawatan profesional di peringkat nasional dan antarabangsa sebelum memasuki politik.
“Tahun ini juga genap 10 tahun penglibatan aktif saya dalam politik, hidup mungkin takdir yang ditentukan Tuhan tetapi anda tetap perlu mengorak langkah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam perjalanan hidup,” katanya lagi.
Pada Khamis, Abang Jo mengumumkan barisan baharu Kabinet Negeri yang terdiri daripada 10 menteri dan 26 menteri muda dengan menyaksikan beberapa rombakan serta penjenamaan semula beberapa kementerian.
Timbalan ketua menteri dalam barisan kabinet kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut disandang Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas darti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan