HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Januari 2022

Formula kemenangan Melaka digunakan dalam PRN Johor, Zahid yakin menang besar


UMNO akan menggunakan formula sama yang digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Johor sekiranya satu lagi PRN diadakan di negeri tersebut, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO yakin pendekatan semasa PRN Melaka tersebut yang berjaya membawa kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) juga bakal membawa satu lagi kemenangan yang besar di Johor nanti.

Jelasnya, UMNO juga akan menggunakan acuan strategi PRN Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) khususnya mengetengahkan calon muda dan berusia bawah 50 tahun.

“Apa yang berlaku di Melaka, saya menetapkan acuan melalui tiga kategori iaitu muka baharu, berkelulusan tertier atau sekurang-kurangnya diploma atau ijazah serta berusia 50 tahun ke bawah mesti melebihi 80 peratus.

“Pencapaian (pada PRN Melaka), kita dapati 87 peratus adalah muka baharu, manakala mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang baik (84 peratus) dan berusia 50 tahun ke bawah (82 peratus).

“Politik sangat dinamik dan perlu dilihat bukan hanya berpegang kepada prinsip statik atau jumud, mungkin disesuaikan mengikut negeri, kawasan Parlimen atau DUN.

“UMNO sangat fleksibel namun matlamat dan asas adalah kemenangan mesti memihak kepada parti, melalui usaha dilakukan sama ada secara taktikal atau strategik,” katanya dalam program bicara disiarkan secara langsung menerusi Facebook.

Selain itu, Zahid juga berkata UMNO juga mengamalkan pendekatan ‘WALI’ dalam memilih calon iaitu mereka yang boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likable).

Berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Zahid berkata UMNO kini hanya menunggu perkenan dan menyerah kepada Sultan Ibrahim Iskandar untuk membuat keputusan dalam soal pembubaran DUN.

“Sebagai parti komponen kerajaan Johor, apa saja keputusan dan perkenan Tuanku, kita akan ikuti, termasuk juga proses politik digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya lagi.

Namun, Zahid berkata PRN Johor mungkin tidak dapat dielakkan susulan kerajaan ketika ini hanya memiliki kelebihan satu kerusi DUN iaitu 28 kerusi manakala pembangkang 27 kerusi.

Justeru, katanya, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad mempunyai pertimbangan sendiri termasuk mengadakan perbincangan bersama BN dan Badan Perhubungan UMNO negeri berhubung kedudukan DUN itu.

Tiada ulasan: