HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Januari 2022

Hubungan UMNO-Pas sudah di penghujung

(Sinar Harian) – Masa depan Muafakat Nasional (MN) kini hampir terkubur apabila hubungan UMNO dan Pas ibarat retak menanti belah.

Manakan tidak apabila satu demi satu Badan Perhubungan UMNO Negeri yang sudah ‘membakar jambatan’ dan menamatkan kerjasama secara rasmi dengan Pas.

Terbaharu, UMNO Kelantan membuat keputusan untuk tidak lagi bersama dengan Pas negeri menerusi Muafakat Nasional (MN), berkuat kuasa serta-merta.

Malah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dalam kenyataan pada Sabtu berkata, UMNO membuat keputusan itu berikutan Pas Kelantan yang masih menjalin kerjasama dengan Bersatu dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Jazlan berkata, keputusan berkenaan mencapai kata sepakat daripada ahli UMNO negeri selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Pas negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob, pada Jumaat.

Beliau berkata selagi Pas di peringkat negeri dan pusat memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka selama itulah tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Kelantan akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

“Demi kestabilan politik dan menghormati keputusan demokrasi yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya lalu, biarlah kerajaan negeri mengurus tadbir rakyat Kelantan tanpa ada apa-apa tekanan.

“Walaupun tidak lagi bekerjasama dengan Pas, namun UMNO akan tetap memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Kelantan.

Berikutan itu, Ahmad Jazlan berkata, UMNO negeri juga membuat keputusan untuk bertanding di semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU15.

Begitu juga nasib MN di Johor yang dilihat tidak jauh bezanya dengan di Kelantan apabila Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, sudah mengesahkan tiada kerjasama dengan Pas dalam PRN Johor nanti.

Di peringkat pusat pula, ramai pemimpin tertinggi UMNO awal-awal sudah memukul canang bahawa Barisan Nasional (BN) akan bertanding solo pada PRU15 nanti tanpa kerjasama dengan Pas yang kini sedang bahagia bersama Bersatu.

Malah, difahamkan antara punca utama pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat adalah kerana Setiausaha Majlis Ulamak itu sering mengingatkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai matlamat asal penubuhan gagasan MN.

Biarpun pada kaca mata penyokong dan pemimpin Pas nampak seperti mahu meneruskan kerjasama dengan UMNO untuk menjayakan matlamat asal MN, namun hakikat sebenar adalah berbeza kerana mereka dilihat lebih selesa bersama Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

UMNO pula kini mampu berdikari tanpa Pas yang pernah menjadi ‘tongkat’, tempat mencari kekuatan untuk bangkit selepas tewas PRU14 lalu.

Mereka menjadi bertambah yakin mampu kembali menjadi parti pemerintah selepas BN menang besar dengan menguasai 21 daripada 28 DUN dalam PRN Melaka.

Tiada ulasan: