HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Januari 2022

Jangan ajar Umno ‘berenang’ – Veteran Umno

MALAYSIA POST

Jangan ajar Umno ‘berenang’ – Veteran Umno

UMNO tidak perlu diajar ‘berenang di dalam kolamnya sendiri’ kerana parti itu tidak berenang dalam dua kolam berbeza, tegas Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub.

Beliau membidas kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang seolah-olah mewakili Umno apabila mendakwa majoriti Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mahu bekerjasama mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang jangan cuba nak mengajar itik berenang. Umno berenang dalam kolam sendiri. Umno bukan berenang dalam dua kolam. Umno lebih tahu cetek dan dalamnya air kolam sendiri. Oleh itu Abdul Hadi lebih baik tutup mulut daripada bercakap merapu. 

“Abdul Hadi jahil struktur Umno. Sebab itu dia mahu ahli mengikut MKT. Abdul Hadi tidak faham semua usul-usul bahagian diangkat kepada PAU (Perhimpunan Agung Umno) dan setelah diluluskan maka MKT akan melaksanakannya. 

“143 bahagian telah meluluskan usul tidak mahu bekerjasama dengan PAS dalam PRU15 dan mahu UMNO bertanding solo. Apakah ini tidak difahami oleh Abdul Hadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mustapha turut membidas Abdul Hadi yang mendakwa kenyataan beliau tidak tepat dan hanya mendapat pandangan sebelah pihak iaitu daripada MKT Umno yang pro Perikatan Nasional (PN) 

“Kenyataan Abdul Hadi  yang mendakwa majoriti MKT Umno menyokong usaha memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mahu orang Umno supaya mengikut keputusan MKT dan bukan suara dan kehendak bahagian adalah satu pembohongan dan melucukan.

“Abdul Hadi hanya mendapat sumber dari ahli MKT yang pro MN bagi mempertahankan PN. Maka dikatakan majoriti MT menyokong MN. Kenapa Hadi tidak bertanya dengan MKT yang tidak mahukan MN dan PN?” soalnya.

Mustapha berkata, Ahli Parlimen Marang itu sengaja mengeluarkan kenyataan susulan tertekan terhadap beberapa tindakan PAS sejak akhir-akhir ini yang tidak menguntungkan parti itu. 

“Kita tahu Abdul Hadi sengaja berbohong dengan kenyataan itu kerana dia cuba memujuk Umno supaya kembali bersama PAS dalam MN. 

“Abdul Hadi tertekan setelah kekalahan calon-calon PAS yang bertanding atas tiket PN dalam PRN Melaka. Abdul Hadi tahu Bersatu gagal membantu kemenangan calon PAS dan sekarang mahu buat ‘u-turn’ kepada Umno,” katanya. 

Dalam kenyataan baru-baru ini, Abdul Hadi turut mendakwa majoriti Ahli MKT Umno mahu Bersatu dan PAS bekerjasama. 

“Orang Umno kena ikut pemimpin (Majlis Kerja Tertinggi) bukan bahagian-bahagian. Bahagian-bahagian ini akar umbi. Itu lain cerita. Kita tak boleh pakai demokrasi Barat. Kena ikut kepimpinan,” kata Abdul Hadi. – Malaysiapost

Tiada ulasan: