HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

PAS akan tanding PRN Johor, tetap berunding dengan UMNO dan Bersatu


PAS akan berunding serta berbincang dengan UMNO, Bersatu dan rakan lain berhubung penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata perbincangan itu akan menentukan sama ada PAS menyertai PRN Johor secara kerjasama dengan rakan parti lain atau sebaliknya, menurut laporan Bernama.

“Bentuk macam mana kita nak memasuki PRN ini belum dimuktamadkan lagi. Malah sebagai sebuah parti senior di negara ini, kita tidak pernah tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya umum mahupun pilihan raya negeri.

“Sama ada sedikit atau banyak (kerusi), PAS tetap menyertai, jadi saya kira untuk PRN Johor sekiranya benar-benar berlaku, saya memberi jaminan PAS akan menyertainya,” katanya hari ini.

Takiyuddin terdahulu menghadiri majlis pemberian sagu hati kepada Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu dan penghulu tanpa mukim kaum Tiong Hua di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata rundingan antara PAS dengan parti lain mampu memberikan satu pilihan yang baik buat pilihan raya.

”Bagi PAS, pilihan raya adalah proses untuk memilih kepimpinan sama ada di peringkat negara ataupun negeri.

“Hasil pemilihan berkenaan akan mewujudkan kestabilan dalam negara dan juga dalam negeri kerana sekiranya berlaku ketidakstabilan politik, ia akan menyebabkan kesan yang buruk kepada negara, negeri dan juga rakyat,” katanya.

Beliau berkata PAS mahu suasana politik yang stabil sekali gus akan menstabilkan ekonomi dan aspek sosial.

Takiyuddin turut mengingatkan setiap kepimpinan di peringkat tinggi mahupun ahli agar menjaga kerahsiaan dan nama baik PAS serta tidak melakukan perkara yang merugikan kepentingan parti.

“Jadi semua pihak perlu berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara termasuk mengeluarkan kenyataan… adakah ia memberi kebaikan kepada parti atau sebaliknya,” kata beliau.

Tiada ulasan: