HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

PH Johor tak setuju PRN diadakan, tapi tetap akan masuk bertanding


Satu lagi pilihan raya negeri (PRN) tidak sepatutnya diadakan pada ketika rakyat masih berdepan dengan kesusahan hidup, kata Pakatan Harapan Johor.

Bagaimanapun, PH Johor tetap akan masuk bertanding dalam PRN yang bakal diadakan meskipun keberatan dengan tindakan UMNO yang bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam selepas mendapat perkenan Sultan Johor semalam.

Perkara itu ditegaskan dalam satu kenyataan bersama, hari ini, oleh Pengerusi PH Johor yang juga Ketua Pembangkang DUN Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Dalam kenyataan itu, PH Johor mendakwa bahawa tindakan UMNO mencetuskan PRN Johor, dilihat sebagai helah bertujuan mengambil kesempatan ketika ramai rakyat negeri ini dijangka menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi.

“Kerana itulah, PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri, telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.

“Penggal pentadbiran berbaki lebih kurang setahun saja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?

“Kami juga cukup yakin bahawa inilah kerisauan, hasrat dan nurani rakyat biasa ketika ini. Malah, pelaksanaan PRN yang bakal menelan belanja sekurang-kurang RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat.

“Malangnya, UMNO sedikit pun tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut mendakwa, ia adalah pilihan raya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

Namun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berdepan situasi berkenaan.

Sultan Ibrahim, Sultan Ibrahim Iskandar, memberi perkenan pembubaran DUN Johor, berkuat kuasa semalam, bagi memberi laluan kepada PRN.

Sebelum itu, baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, jam 5 petang semalam.

Tiada ulasan: