MALAYSIA POST
KERAJAAN perlu menamatkan perkhidmatan Tan Sri Azam Baki, jika Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak bersedia untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, kata Lim Kit Siang.
Pada masa sama, veteran DAP itu berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil tindakan segera untuk memindahkan SPRM daripada Jabatan Perdana Menteri ke Parlimen.
“Cadangan ini perlu dibentangkan Ismail Sabri untuk kelulusan dalam mesyuarat Kabinet esok – atau tiada mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung esok?
“Kesunyian Ismail Sabri mengenai perkara yang melibat akauntabiliti, ketelusan, dan integriti SPRM dan pegawai-pegawainya selama dua bulan ini merupakan satu titik hitam untuk kerajaan Ismail Sabri.
“Ia menunjukkan bukan sahaja tiada keseriusan dalam melawan rasuah, malah sebuah kerajaan yang lemah di mana Perdana Menteri dan menteri-menterinya takut dengan pegawai awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut mempersoalkan adakah perkara itu berlaku kerana SPRM mungkin mempunyai bukti-bukti ketiadaan integriti dalam kalangan Jemaah Menteri.
Beliau menambah, Azam perlu menjelaskan mengapa beliau tidak berani untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menjelaskan tuduhan yang menjejaskan komitmen integritinya.
“Masanya telah tiba untuk memindahkan SPRM daripada menjadi sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah badan yang bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen.
“Ia satu langkah utama untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai badan utama pencegahan rasuah.
“Dengan pemindahan ini, perlu ada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Rasuah dan Penyalahgunaan Kuasa untuk memantau kerja-kerja SPRM,” katanya lagi. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan