HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

Sah Johor bakal adakan PRN, Sultan Ibrahim perkenan bubar DUN

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari ini. /Gambar FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu seperti dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim sebentar tadi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari ini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Pada pertemuan bersama Sultan Ibrahim, Hasni turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar 
berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan 
Undangan Negeri (DUN)./ Gambar FB Sultan Ibrahim Sultan 
Iskandar.

“Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022,” kata hantaran itu.

Seperti mana peruntukan undang-undang, sesuatu pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas berlaku kekosongan atau pembubaran.

Sebelum dibubarkan, kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi); MIC (dua); Bersatu (11); dan PAS (satu).

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 27 kerusi iaitu DAP (14); PKR (tujuh); dan Amanah (enam).

Sejak beberapa minggu lalu, berlegar spekulasi mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini terutama selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan UMNO dan gabungannya hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Terdahulu pada jam 2 petang, Hasni mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru.

Mesyuarat itu dihadiri kesemua 26 ketua bahagian termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Hasni secara ringkas memaklumkan UMNO Johor bersetuju PRN Johor diadakan.

Beliau kemudiannya mempengerusikan Mesyuaray Exco buat kali terakhir sebelum menghadap Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene.

Mengikut makluman awal, Hasni akan mengadakan sidang media jam 6 petang ini.

Tiada ulasan: