HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Januari 2022

40% pengundi muda baru kini layak mengundi di Johor

MALAYSIA POST

40% pengundi muda baru kini layak mengundi di Johor

KELULUSAN dibuat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, dilihat dapat memberi ruang kepada generasi baru menentukan landskap politik negara.

Exco Pemuda Umno Malaysia, Hafiz Ariffin berpendapat, kelulusan itu juga melengkapkan usaha kerajaan, di samping menyambut hasrat orang muda untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara dengan lebih inklusif dan progresif.

“Tahniah diucapkan kepada Sidang DUN Johor dengan meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 kepada 18 tahun.

“Ia merupakan isyarat kepada parti-parti politik di dalam tanah air untuk menyesuaikan syarat keahlian dan operasi parti bagi membuka pintu dan ruang kepada generasi baru menyertai bersama mencorak landskap politik semasa tanah air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sembrong berkata, dengan pelaksanaan Undi 18 itu, di Johor sebanyak 706,082 orang muda dengan membawa penambahan hampir 40 peratus pengundi muda baru akan layak mengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

“Dari jumlah keseluruhan pengundi, penambahan ini akan memberi kesan signifikan kepada pola pengundian pada PRU akan datang.

“Di kesempatan ini mewakili Pemuda Umno Johor, kami amat meraikan dan menyambut baik landskap baru yang menggalakkan lebih ramai penyertaan anak muda.

“Juga, mengajak anak muda untuk turut serta menganggotai Pergerakan Pemuda Umno di cawangan-cawangan seluruh Johor,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: