HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Januari 2022

Acuan PRN Melaka mampu beri UMNO menang besar di Johor, kata Naib Presiden


Kemenangan besar dijangka menjadi milik UMNO sekiranya acuan sama digunakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Johor nanti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan strategi yang digunakan semasa di Melaka boleh juga diaplikasi jentera parti di Johor bagi memastikan satu lagi kemenangan bergaya dalam PRN.

“Apa juga yang diputuskan oleh parti, kita akan memberikan sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN).

“Templat (PRN Melaka) boleh digunakan. Berdasarkan PRN Melaka, ia nampak beri kelebihan,” katanya dipetik laporan BH.

UMNO meletak sasaran untuk bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata jumlah itu belum mengambil kira kerusi DUN bagi parti komponen BN yang lain.

Beliau berkata, parti itu masih di peringkat perbincangan bersama rakan komponen dan akan memutuskan jumlah akhir tidak lama lagi.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Minggu lalu, Hasni memberi jaminan sistem penyampaian kerajaan negeri tidak akan terganggu sekiranya PRN diadakan di negeri itu dan jentera kerajaan akan terus berfungsi sepanjang tempoh berkenaan.

Tiada ulasan: