HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Januari 2022

PRN Johor, seorang lagi pemimpin Amanah gesa runding dengan Bersatu dan PN

Seorang lagi pemimpin Parti Amanah menyuarakan gesaan supaya blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) berunding dengan Bersatu dan juga Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya membuka pintu rundingan dengan Bersatu bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi.

Bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman berkata PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang, ia ibarat “serah tengkuk” kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“PH dan parti pembangkang mesti berjiwa besar dan melupakan persengketaan demi kepentingan rakyat yang terasa dikhianati dengan mandat diberikan.

“Memang tidak mudah bila diingati ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH di persekutuan dan negeri-negeri. Ia amat pahit dan tragis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Majlis Presiden PH menyuarakan hasrat untuk bergabung dengan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam PRN Johor untuk bersama di bawah satu khemah besar.

Mazlan berkata, khemah besar itu juga bagi menidakkan hasrat UMNO meraih kemenangan besar dalam PRN Johor, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

“UMNO sendiri telah membuat kenyataan angkuh dengan yakin untuk menang besar meskipun bersendirian dalam PRN Johor. Ia akan membuka laluan untuk PRU-15 dan dengan andaian menang majoriti dua pertiga demi melaksanakan agenda mereka.

“Adakah PH dan rakyat pada keseluruhannya ingin kembali ke episod kleptokrasi seperti dahulu?” soalnya lagi.

“Bayangkan, bukan sahaja PH boleh bekerjasama dengan Warisan, Pejuang, MUDA; tetapi juga dengan Bersatu dan PAS, membentuk pakatan terbesar. Ia gambaran sebenar Keluarga Malaysia,” katanya merujuk slogan dilaungkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Untuk rekod, semasa berada dalam gabungan PH, Bersatu menang lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 17 kerusi yang ditandinginya, kebanyakkan calon Bersatu diletak melawan UMNO yang majoritinya pengundi Melayu.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan selepas Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor pada Sabtu.

PRN Johor terpaksa diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala PH pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

Tiada ulasan: