HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Januari 2022

Hak PM rombak Kabinet – Muhyiddin

MALAYSIA POST

Hak PM rombak Kabinet – Muhyiddin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai hak untuk membuat sebarang perubahan atau rombakan dalam barisan Kabinet beliau mengikut perancangan tersendiri.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau ada membaca berita atau spekulasi berkaitan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut termasuk ketika ditanya kewajaran melakukan perkara berkenaan.

“Saya bukan Perdana Menteri, elok tanya Perdana Menteri (dan) kalau ada pun itu perancangan Perdana Menteri buat.

“Saya tak boleh nak komen, itu hak Perdana Menteri (sama ada) dia nak rombak atau tak rombak, itu hak dia. Tapi, biasalah dalam politik, orang buat ramalan, jadi, terserah kepada Allah SWT dan Perdana Menteri untuk putuskan,” katanya.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Jawa di Lenga, Pagoh, Johor hari ini.

Semalam, media melaporkan setelah hampir lima bulan menerajui kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri di­jang­ka melakukan rombakan Ka­binet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu ha­dapan.

Menurut sumber, keba­nyakan menteri dan timbalan menteri sudah menge­tahui perk­ara tersebut dan sumber itu turut memaklumkan, antara nama menteri yang disebut-sebut bakal terlibat ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, Ismail Sabri enggan melayan mengulas spekulasi mengenai rombakan Kabinet tersebut.

Tegasnya, senarai nama yang bertebaran di mana-mana platform media adalah perkara biasa, yang mana boleh dianggap sebagai kebiasaan seperti sebelum ini.

Katanya, tumpuannya kini terarah kepada usaha menangani banjir dan pasca bencana itu, serta langkah membendung penularan Covid-19. – Malaysiapost

Tiada ulasan: