MALAYSIA POST
PENDIRIAN kepimpinan Umno pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Citra bukan hanya sekarang atau ketika bencana banjir melanda negara ketika ini, tegas Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurutnya, pendirian itu telah dinyatakan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca PKP lagi.
“Pendirian Presiden UMNO mengenai i-Citra KWSP bukannya baru sekarang atau hanya terbatas kepada musibah banjir yang melanda, sebaliknya memenuhi hasrat dan menyantuni tuntutan rakyat yang susah dan terdesak sejak PKP dan Pasca PKP lagi.
“Bahkan kenyataan beliau (Presiden) hanya menegaskan kembali ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 27 Ogos lalu.
“Ketetapan itu dibuat ketika menggariskan beberapa panduan utama buat Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata ketetapan itu antaranya adalah kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambah-baikan pakej-pakej bantuan rakyat.
Bantuan-bantuan tersebut seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin. Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC), moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.
“Selagi MKT belum menarik balik ketetapan ini, garis panduan ini masih terpakai,” tegasnya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan