GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia berdepan Kerajaan Negeri Kedah di mahkamah berhubung tuntutan caj air mentah terhadap negeri itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kedua-dua negeri mempunyai hak masing-masing dan Pulau Pinang juga mempunyai hujah tersendiri serta berpegang kepada undang-undang berkaitan isu berkenaan.
“Kita jumpa di mahkamah, kita tunggu kerana sekadar cakap di luar sahaja tidak ada manfaat. Kalau benar-benar mahu isu ini diselesaikan biar sampai ke mahkamah kerana kita memang ada hujah kita.
“Isu ini setiap pihak ada hak, kita berlandaskan undang-undang negeri dan antarabangsa tentang hak terhadap sumber air,” katanya selepas menghadiri majlis pengiktirafan dan anugerah warisan Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) di sini hari ini.
Kerajaan negeri Kedah dilaporkan melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri serius dalam isu tuntutan terbabit.
Kerajaan negeri Kedah sebelum ini meminta bayaran RM50 juta daripada Pulau Pinang untuk penggunaan air mentah namun Pulau Pinang enggan melayan sebarang tuntutan daripada Kedah.
Menurut Kon Yeow, tindakan membawa tuntutan caj air mentah itu adalah satu perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini namun beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Kedah.
“Kedah telah melantik panel peguam untuk meneliti perkara itu bagi melihat sama ada ia satu kes untuk dibawa ke mahkamah atau tidak. Kami sedang menunggu untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, mengikut konvensyen antarabangsa, sesiapa sahaja mempunyai hak riparian untuk penggunaan air mentah.
“Contohnya sungai di Eropah yang mengalir ke beberapa negara, berdasarkan konvensyen antarabangsa, semua negara dibenarkan untuk mengambil serta menggunakan air dari sungai tersebut.
“Begitu juga Pulau Pinang mempunyai hak untuk mengambil air dari Sungai Muda yang berasal dari Kedah dan mempunyai hak untuk menggunakan air mentah itu selagi tidak menjejaskan hak generasi akan datang untuk menggunakannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan