KUALA LUMPUR: Ternyata pelan tindakan Majlis
Pemulihan Negara (MPN) yang diilhamkan bekas perdana menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin kini membuahkan hasilnya.
Ketua Penerangan
Bersatu Malaysia Dato’ Wan Saiful Wan Jan berkata, berkat kecekalan
rakyat menghadapi Covid-19, dan usaha gigih semua petugas barisan
hadapan, Malaysia bergerak keluar daripada krisis Covid-19.
“Kita
ingat satu nukilan yang diinspirasikan daripada pesanan Saidina Ali
iaitu, ‘kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan
yang tersusun’.
“Itulah hakikatnya. Tak kira sesuci mana
sekalipun mesej yang kita bawa. Tak kira seikhlas mana sekalipun niat
perjuangan kita. Jika kita tidak mengatur organisasi menjadi seumpama
bangunan yang tersusun rapi, maka biasanya yang menanti ialah
kekalahan,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Oleh itu katanya Bersatu mendoakan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob diberi kekuatan untuk meneruskan legasi memacu Malaysia ke arah yang berdaya saing dan makmur.
Beliau juga berkata, bencana banjir yang melanda menunjukkan betapa perlunya seluruh segmen rakyat bergerak bersama-sama dalam membina negara.
Menurutnya kesatuan akan membolehkan kita bersama-sama membangunkan negara.
“Contohnya dalam menangani bencana banjir, pihak yang terkehadapan ialah individu-individu serta NGO dari seluruh negara, di samping semua petugas pelbagai agensi.
“Mereka adalah wira-wira yang tidak didendang, membanting tulang setiap hari membantu rakyat. Mereka menunjukkan contoh murni untuk kita teladani. Budaya khidmat ini mesti terus disuburkan agar mengakar sebagai cara hidup kita,” ujarnya.
Wan Saiful juga berkata, Bersatu mempunyai sejarah yang unik kerana ditubuh atas semangat reformasi institusi sambil mengekalkan susunan asas fabrik negara supaya kestabilan dapat dijaga.
Katanya budaya politik khidmat, politik integriti, amanah dan bermaruah terus membara sehingga hari ini.
“Bersatu harus jadikan tahun 2022 sebagai tahun untuk mempamerkan kebolehan parti menjadi alternatif yang jelas untuk dipilih rakyat.
“Proses itu mesti bermula dengan penyusunan saf dan pembaikan kualiti kerja kita. Ujian sebenar semakin hampir. Jika pengukuhan organisasi setempat belum dimulakan, hari inilah sepatutnya kita bermula,” ujarnya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan