HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

Kriteria calon UMNO mesti ada ciri-ciri ‘WALI’: Mat Maslan


UMNO sekali lagi akan menampilkan calon-calon yang memiliki kriteria serta ciri ‘WALI’, strategi sama sebelum ini yang digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Datuk Seri Ahmad Maslan atau Mat Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, calon UMNO dalam PRN Johor perlu memenuhi syarat tersebut sekiranya mahu diletak bertanding, acuan WALI bermaksud ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi).

“Kriteria calon UMNO dan Barisan Nasional akan ditetapkan mengikut acuan ‘WALI’. Itu antara kriteria disebut sebelum ini oleh Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan ia akan terus diguna pakai pada PRN Johor,” katanya dipetik laporan BH.

Mat Maslah terdahulu merasmikan Program Retreat dan Gerak Gempur Jentera Pilihan Raya Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Bangunan UMNO Johor. 

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid berkata, calon yang dipilih BN untuk menghadapi PRN Melaka pada November tahun lalu harus mempunyai sifat ‘WALI’ (winnable, acceptable dan likeable) untuk semua kaum serta masyarakat.

Ditanya mengenai permintaan akar umbi UMNO terutama Pemuda supaya lebih ramai calon muda ditampilkan pada PRN Johor kali ini, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan, belum ada keputusan terperinci mengenai calon yang bakal disenaraikan.

“Belum ada keputusan akhir mengenai calon kerana ia akan ditentukan pimpinan tertinggi parti bersama pimpinan negeri.

“Namun pada PRN Melaka, calon dikemukakan UMNO dan BN membabitkan kombinasi mereka yang berpengalaman serta muka baharu dalam kalangan orang muda. Sudah tentu akan ada kombinasi sama pada PRN Johor nanti,” katanya.

Tiada ulasan: