HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Januari 2022

Lim Kit Siang sembang kari – Puad Zarkashi

  HASNURUL MOHAMED

DAP tidak akan berani membatalkan perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan kerana setiap wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dijangka menerima peruntukan besar tahun depan di bawah kerangka perjanjian itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi berkata, DAP tidak akan berani membatalkan MoU dengan kerajaan kerana setiap wakil rakyat PH dijangka mendapat peruntukan RM2.8 juta awal tahun 2022 di bawah MoU tersebut.

“Dikatakan suku terakhir tahun ini wakil rakyat PH sudah menerima RM600,000 daripada kerajaan? Ia dimasukkan terus ke akaun pusat khidmat wakil rakyat. Untung besar DAP,” dakwa Puad.

 

Puad mengulas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yang mahu gabungan pembangkang itu memutuskan sama ada akan meneruskan MoU dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya beliau tidak menunaikan janjinya.

Ini termasuk menggubal undang-undang untuk mengharamkan ‘katak politik’ di negara ini menjelang Mesyuarat Pertama Sesi Kelima Parlimen pada awal 2022.

Puad berkata, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu tidak layak mengugut kerajaan kerana PH dan DAP merekodkan kekalahan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.

“Berani DAP membatalkan MoU antara PH dengan kerajaan?

“Lim Kit Siang tidak perlu sembang kari. Rakyat tidak akan percaya cakap Kit Siang. Sebab itu DAP kalah teruk di Melaka dan Sarawak. Di Melaka DAP mengalah apabila PKR terima katak seperti Idris Haron (bekas ADUN UMNO),” katanya.

Puad berkata, dengan rekod terburuk PH, kerajaan perlu menilai sama ada MoU itu masih relevan.

“Kenapa bagi nyawa pada PH yang kalah di Sarawak dan Melaka. MoU itu hanya persefahaman bukan perjanjian yang ada ‘legal binding’,” katanya.

Pada PRN Melaka, PH hanya memenangi lima daripada 28 kerusi yang ditandingi berbanding 15 kerusi yang dimenangi pada PRU14 sementara di Sarawak gabungan itu hanya menang dua kerusi menerusi tiket DAP manakala PKR dan Amanah tewas di semua kerusi yang ditandingi.

Pada PRN Sarawak 2016, DAP menang tujuh kerusi, manakala PKR menang tiga kerusi. – SUMBER FMT – SM

Tiada ulasan: