HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

Mat Sabu akui Anwar gagal satukan pembangkang, gesa ‘khemah besar’

Parti pembangkang kini sudah berpecah dan tidak bersatu seperti sebelum ini semasa dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggepalai Pakatan Harapan (PH), kata Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu.

Presiden Amanah itu secara tidak langsung mengkritik secara halus kegagalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat gagal mengemudi blok pembangkang dengan baik disamping menjadi punca utama perpecahan dikalangan parti pembangkang lain.

Menyedari kelemahan yang dihadapi pembangkang, Mat Sabu tidak mahu mereka akan dihukum dalam satu lagi pilihan raya negeri (PRN) di Johor seperti yang berlaku di Melaka dan Sarawak sehingga kalah teruk.

“Kegagalan kita dalam PRN Melaka dan Sarawak pastinya banyak mengajar kita. Amanah dan PH mesti berani membuat perubahan demi kesinambungan perjuangan kita.

“Gagasan ‘khemah besar’ atau ‘big tent’ tidak wajar hanya slogan.

“Idea dan pendekatan baik ini perlukan pengisian dan pelan tindakan yang berkesan. Hakikatnya, gagasan dan pendekatan inilah yang menjayakan usaha kita semasa PRU14.

“Malangnya kita telah hilang sifat keterbukaan dan kesanggupan memperbanyakkan rakan, dan inilah sebabnya prestasi yang buruk PRN Melaka dan Sarawak,” kata beliau semasa Konvensyen Nasional 2021 Amanah hari ini.

PH sebelum ini kalah teruk dalam dua PRN, ia berpunca daripada langkah Anwar yang dilihat membuat keputusan yang bercanggah dengan pendirian rakan parti komponen lain dalam gabungan itu.

Semasa di Melaka, Anwar membuat keputusan meletak bekas calon UMNO untuk bertanding atas tiket PKR sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati DAP, malah semasa PRN Sarawak kehadirannya berkempen juga ditolak DAP negeri tersebut.

Hasilnya, PH khususnya PKR tewas teruk dalam kedua-dua PRN tersebut.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk membubarkan DUN Johor, sekaligus membuka laluan untuk PRN diadakan.

PRN Johor mula diperkatakan berikutan kematian Adun Kempas Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan Umno hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Mat Sabu berkata dengan PRN Johor yang akan diadakan, sudah tiba masanya bagi PH menggunakan strategi baru untuk meraih semula sokongan pengundi.

Menurutnya, ia bakal menjadi petunjuk kepada gabungan itu dalam menghadapi PRU15.

“Walaupun kita tidak setuju PRN Johor ini diadakan, namun oleh kerana kita terpaksa menghadapinya, maka biarlah kita memanfaatkannya untuk merangka dan menguji strategi dan pendekatan yang lebih mampu menjamin kemenangan.

“Dengan itu, membantu kita untuk menetapkan strategi dan pendekatan yang berkesan untuk hadapi PRU15,” katanya lagi.

Tiada ulasan: