HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Januari 2022

Muhyiddin dakwa Najib minta singkirkan Gopal Sri Ram

NAJA

Muhyiddin dakwa Najib minta singkirkan Gopal Sri Ram

TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk Seri Najib Razak ada meminta bantuannya untuk memecat Tan Sri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kes mahkamah yang sedang berjalan.

Memetik Malaysiakini, Muhyiddin yang merupakan bekas perdana menteri sebelum ini membuat dakwaan tersebut dalam surat yang dikeluarkan oleh peguamnya bertarikh 17 September tahun lepas, sebagai menjawab surat tuntutan Najib terhadapnya.

Pada 9 September tahun lepas dalam satu hantaran Facebook, Najib berkata dia telah menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin.

Surat tuntutan itu meminta supaya Muhyiddin menjawab sama ada dia bertanggungjawab menyebarkan khabar angin di mana Najib didakwa telah membuat permintaan agar perdana menteri ketika itu campur tangan dalam kes mahkamah Najib.

Bagaimanapun, pada 4 Ogos tahun lalu, ketika Muhyiddin masih menjadi perdana menteri, beliau mendakwa ada pihak tertentu mendesaknya supaya mencampuri urusan mahkamah, bagi membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Namun, Muhyiddin tidak menyebut sebarang nama secara khusus.

Pada 14 Januari baru-baru ini, sebagai menjawab dakwaan Muhyiddin, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menafikan terdapat pihak yang menghubungi dirinya atau hakim lain berhubung dakwaan Muhyiddin tentang cubaan campur tangan dalam badan kehakiman.

Dalam surat 17 September yang dikeluarkan oleh firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, peguam Muhyiddin mengulangi bahawa anak guam mereka tidak akan melayan sebarang percubaan campur tangan kehakiman.

Pasukan undang-undang Muhyiddin juga mendakwa bahawa dalam pertemuan antara Muhyiddin dan Najib, di mana lokasi dan tarikh serta masa yang tidak dinyatakan, Najib dikatakan mengadu mengenai pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) dalam kes jenayah terhadapnya, dan didakwa meminta campur tangan Muhyiddin.

Sebelum ini, Sri Ram yang merupakan seorang hakim mahkamah persekutuan dan kini bergerak secara persendirian dilantik sebagai DPP kanan oleh peguam negara untuk menangani kes mahkamah jenayah berkaitan 1MDB terhadap Najib.

Peguam Muhyiddin mengulangi bahawa dia berhak untuk mendedahkan butiran penuh berhubung dakwaan itu.

Pasukan peguam Muhyiddin juga menyatakan bahawa anak guamnya tidak akan bersetuju dengan surat tuntutan Najib, dan sekiranya Najib memfailkan tuntutan mahkamah, mereka diarahkan untuk menerima kertas kausa dan bersungguh-sungguh mempertahankannya di mahkamah. -Malaysiapost

Tiada ulasan: