HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Januari 2022

Tiada pihak mahukan PRN-Pas Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PRU

TIADA mana-mana pihak yang mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat, kata Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

Beliau menjelaskan, ini termasuk parti-parti dalam kerajaan atau komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

“Pas Johor mengikut perkembangan politik yang sedang berlaku di Johor khususnya kemungkinan akan berlaku PRN Johor dalam masa terdekat.

“Pas Johor masih kekal dengan pandangan bahawa PRN Johor bukan satu keperluan untuk diadakan ketika ini walaupun diakui bahawa kerajaan Johor yang dipimpin Datuk Hasni Mohammad hanya berkelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

Abdullah Hussin
Abdullah Hussin

“Pas Johor melihat bahawa tiada mana-mana pihak yang mahukan PRN Johor diadakan, sama ada parti-parti dalam kerajaan mahupun parti-parti Pembangkang di Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang jua bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Perkembangan itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika dihubungi media pada Khamis menafikan menerima surat permohonan pembubaran DUN bagi membolehkan PRN diadakan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, Pas Johor melihat bahawa perkara yang perlu diberikan keutamaan ketika ini adalah kepentingan rakyat dalam membina semula kekuatan ekonomi akibat terkesan dari wabak Covid-19.

Pas Johor katanya, akan kekal dengan pendirian parti iaitu akan terus mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sambil memperkasa kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.

Namun dalam masa yang sama, Pas Johor katanya, sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akan berlakunya PRN Johor.

“Pas Johor mengharapkan kerjasama di atas nama MN akan diteruskan seperti mana kerjasama Pas bersama PN di negeri bertuah ini,” katanya.

Tiada ulasan: