HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Januari 2022

Pecat Khairuddin: Nik Abduh persoal adab Takiyuddin

NAJA

Pecat Khairuddin: Nik Abduh persoal adab Takiyuddin

ADAB Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipersoalkan dalam mengurus pemecatan Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa PAS pusat baru-baru ini.

Pertikaian mengenai adab berjemaah dan adab berkawan Takiyuddin dibangkit oleh Nik Abduh Nik Abdul Aziz menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Nik Abduh menjelaskan, dia memberi pandangannya itu beberapa hari selepas Takiyuddin mencabar Khairuddin secara terbuka dalam sidang medianya di Kota Bharu.

Menurut Nik Abduh, dia hanya mahukan penjelasan pimpinan parti mengenai pengguguran Khairuddin daripada jawatan sebagai anggota Jawatankuasa
PAS Pusat kerana penerangan diberi Takiyuddin tidak memuaskan.

Tambah bekas Ketua Pemuda PAS itu, Khairuddin sebenarnya sedang sedih kerana dilanda musibah.

Memburukkan lagi keadaan, Nik Abduh berkata, Takiyuddin seolah-olah meletakkan garam pada luka dialami bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

“Mana adab berjemaah dan adab berkawan? Jangan ajar saya bab adab kalau kita lebih tak beradab,” kata Nik Abduh yang dipetik portal FMT, hari ini.

Pun begitu, anak bekas menteri besar Kelantan itu meminta orang ramai agar bersikap adil kepadanya.

“Saya tak pernah marah ahli PAS yang marahkan saya kerana tulisan itu atau mana-mana tulisan saya sebelum ini berkaitan parti. Itu tanda mereka sayang parti dan jemaah.

“Mereka dapat pahala (kerana teguran tersebut), cuma (kalau) nak marah saya sekali, kena marah juga setiausaha agung dua kali.

“Kalau (marah saya) 10 kali, dia mesti kena 20 kali, (sebab) dia mula dulu, itu baru adil,” katanya

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa pemecatan Khairuddin dibuat atas alasan disiplin dan parti terbabit tidak bercadang untuk menjelaskan hal tersebut lebih lanjut kepada orang ramai. -Malaysiapost

Tiada ulasan: