HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Januari 2022

PRN bakal jadikan Johor stabil seperti Melaka, Sarawak?

 Ainul Illia

‘Internal political bickering’ sulitkan pentadbiran negara

BANGI– Penganalisis politik, Shahbudin Embun berpandangan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal membolehkan negeri itu menjadi stabil seperti mana Melaka dan Sarawak ketika ini, yang baru sahaja melalui situasi sama.

Katanya, senario politik kerajaan negeri Johor kini berada di dalam keadaan caca marba – apabila ia hanya memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

“Kerajaan negeri juga tertekan dalam keadaan politik yang tidak stabil. Kita tahu bahawa negara kita pun, kerajaan Keluarga Malaysia ini mempunyai kombinasi pelbagai parti. 

“Kita lihat bahawa ia tidak begitu kondusif. Kita kena mencari satu formula terbaik mendapatkan kestabilan politik dalam negara,” katanya kepada Ismaweb.net.

Namun, bagi seluruh negara, keputusan mengadakan pilihan raya umum (PRU) mesti difikirkan secara matang jika ia mahu dilaksanakan supaya mampu menjana ekonomi negara dan mentadbir negara. 

“Kita tidak sanggup berada dalam keadaan dilema. Di mana kerajaan tidak begitu selesa untuk mengambil tindakan drastik kerana terpaksa menjaga hati parti dalam gabungan kerajaan Keluarga Malaysia. 

“Begitu juga di Johor, saya rasa menteri besar mempunyai dilema yang sama. Ya untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan pelbagai lagi permasalahan, internal political bickering yang menyusahkan, menyulitkan pentadbiran negara,” katanya.

Tegasnya, biarlah rakyat menjadi penentu parti mana yang mereka ingin pilih untuk mendapatkan kestabilan yang hakiki. 

Pada masa sama, jelasnya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor juga adalah kuasa penentu bagi setiap PRN kerana kerajaan Johor adalah kerajaan berdaulat di bawah pimpinan sultan yang adil dan bijaksana

“Jadi perkenan baginda mesti diambil kira jika PRN hendak diadakan,” katanya.

Desas-desus PRN Johor bertiup kencang kebelakangan ini ditambah pula dengan tindakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, yang tidak memberi jawapan tuntas.

Ia menyebabkan pelbagai pihak mula meramalkan ia akan berlaku antara Februari hingga Mac depan.

Manakala blok pembangkang Johor pula menentang pelaksanaan PRN Johor dengan menyifatkan ia sebagai tidak munasabah, sekali gus menolak ia diadakan berikutan kepentingan rakyat serta negeri, perlu diberikan diutamakan.

Tiada ulasan: