MALAYSIA POST
PARTI Pejuang Tanahair (Pejuang) menyasarkan untuk membantu 100,000 penganggur dan usahawan melalui Program Gerakan Ekonomi Pejuang yang dilancarkan pada 19 Disember lalu.
Gerakan Ekonomi Pejuang merupakan satu program menggerakkan jentera parti untuk membantu masyarakat menganggur mendapatkan pekerjaan dan membantu komuniti bisnes dan usahawan dengan mendigitasikan perniagaan atau kemahiran mereka serta menyediakan platfom pemasaran dan latihan.
Ahli Majlis Eksekutif Pusat merangkap Ketua Biro Eonomi Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata sasaran utama adalah kepada golongan B40 ke bawah.
“Kami telah berjaya mendigitasikan lebih 2,000 kemahiran melalui program GIG, mendaftar 2,000 perniagaan dan memberi penempatan kerja kepada lebih 1,000 orang terutama di Kelantan, Selangor dan Perak.
“Penggerak Pejuang di setiap negeri dilatih dan dikelolakan oleh biro-biro Ekonomi Pejuang di setiap Negeri. Gerakan ekonomi Pejuang ini akan berlangsung sehingga akhir tahun hadapan atau sehingga masalah pengangguran menjadi kurang kritikal.
“Pejuang amat bimbang keadaan rakyat yang semakin terdesak akibat kehilangan kerja dan tiada sumber pendapatan. Terkini lebih 60,000 rakyat kehilangan kerja dan jumlah pengangguran telah meningkat mencapai paras 860,000,” katanya menerusi kenyataan.
Armin memaklumkan Pejuang dengan kerjasama Pertubuhan Gerakan Ekonomi Malaysia telah melancarkan Gerakan Ekonomi Pejuang Kebangsaan pada 19 Disember bermula di Selangor.
Pelancaran disempurnakan Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Wira Marzuki Yahya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan