HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Januari 2022

PRN Johor, Muhyiddin mahu beri laluan kepada muka baharu


Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir tidak akan dipertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata mahu memberi peluang kepada muka baharu bertanding dalam PRN nanti dan akan menumpukan sepenuhnya kepada pengurusan parti Bersatu, selain menumpukan kepada urusan Parlimen.

“Saya mungkin tidak akan bertanding. Ini terserah kepada pimpinan tentukan (calon). Saya mahu tumpukan sepenuh masa kepada yang lebih utama iaitu Parlimen, menguruskan parti pada peringkat pusat dan menyampaikan mesej perjuangan kita.

“Jadi saya mahu bagi peluang kepada tokoh di Johor dan terserah kepada merekalah siapa yang mahu diisi, kita akan putuskan nanti,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Muhyiddin terdahulu mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Muhyiddin menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M Asojan serta calon PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Februari ini.

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Tiada ulasan: