HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

Rakus dan UMNO mahu membolot kuasa punca PRN Johor, kata Wan Saiful


Langkah UMNO yang bertindak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menunjukkan pemimpin parti tersebut rakus dan mahu membolot kuasa tanpa menghiraukan kesusahan rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan langkah untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Johor pada ketika rakyat sedang bergelut dengan penularan Covid-19 dan baharu sahaja berdepan bencana banjir besar menunjukkan UMNO tidak prihatin dengan kebajikan rakyat.

“Sekarang bukan waktu yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya. Tetapi UMNO Johor kelihatan rakus bermain politik demi kuasa walaupun rakyat masih bergelumang dengan pandemik Covid-19 dan kesan bencana banjir.

“Untuk merobek pemisahan kuasa yang dibina semula bersungguh-sungguh oleh Tan Sri Muhyiddin, mereka mesti membolot kuasa dahulu,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar (MB) Datuk Hasni Mohammad petang tadi mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar petang dan mendapat perkenan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan PRN diadakan.

Baginda menandatangani watikah pembubaran DUN, menurut kenyataan dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, petang ini.

Menurut kenyataan itu, pada pertemuan berkenaan Hasni diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran DUN.

Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022.

Johor memiliki 56 kerusi DUN dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu), sementara AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, susulan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian.

Tiada ulasan: