HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

Rina harap lebih ramai calon wanita tanding PRN Johor

Datuk Seri Rina Harun menyampaikan bantuan pada Program Penyampaian Kotak Makanan YKN dan Kit Dana Kasih LPPKN kepada 126 mangsa bah di Dewan Kampung Spang Loi, Batu Anam di Segamat, Johor, hari ini. - NSTP/AHMAD ISMAIL
Datuk Seri Rina Harun menyampaikan bantuan pada Program Penyampaian Kotak Makanan YKN dan Kit Dana Kasih LPPKN kepada 126 mangsa bah di Dewan Kampung Spang Loi, Batu Anam di Segamat, Johor, hari ini. - NSTP/AHMAD ISMAIL

SEGAMAT: Srikandi BERSATU berharap pimpinan parti menampilkan lebih ramai calon wanita bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun, berkata walaupun dasar kuota wanita sama ada dalam parti politik, agensi dan sebagainya adalah sebanyak 30 peratus, sayap berkenaan mahukan lebih ramai wanita dalam barisan kepemimpinan.

"Dasar kita sebenarnya adalah 30 peratus, namun kita berharap lebih ramai wanita diletakkan sebagai pembuat dasar. Sebenarnya, kita juga masih belum memutuskan berapa banyak kerusi yang BERSATU akan tandingi serta berapa ramai calon wanita kerana pembubaran DUN Johor hanya diperkenan semalam.

"BERSATU akan berunding dengan parti sekutu lain dalam Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat. Ini kerana terdapat 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor. Apa pun, kita akan menghantar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita untuk dipertimbangkan sebagai calon.

"Kita tunggu kata putus pucuk pimpinan parti dan hormati apa juga keputusan nanti," katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Penyampaian Kotak Makanan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Kit Dana Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kepada 126 mangsa bah di Dewan Kampung Spang Loi, Batu Anam, di sini, hari ini.

Rina berharap siapa juga calon Srikandi yang dipilih bertanding pada PRN Johor nanti mampu memenangi hati semua lapisan masyarakat.

"Sebagai Ketua Srikandi BERSATU dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kita mahukan lebih ramai calon wanita. Untuk pemilihan calon ini, kita melihat segala aspek, hubungannya dengan rakyat, kelayakan, cara kepemimpinan dan pelbagai kriteria lagi," katanya.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN, berkuat kuasa 22 Januari bagi memberi laluan kepada PRN diadakan. Ia selepas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menghadap baginda di Istana Bukit Serena bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN.

Sementara itu, beliau berkata, gerak kerja dan pengagihan bantuan kepada 37,000 mangsa banjir baru-baru ini, antaranya di Selangor, Kelantan, Pahang dan Johor, sudah mencapai lebih 90 peratus.

"Kita tidak menghadapi masalah mengagihkan pelbagai bantuan, antaranya dapur gas, tong gas dan kotak makanan dengan kerjasama pimpinan setempat. Kerajaan Persekutuan dan negeri turut memberikan sokongan," katanya.

Tiada ulasan: