Sumber kata spekulasi, namun ia bagai ‘peringatan’ kepada menteri
PUTRAJAYA – Terdapat desas-desus mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan merombak Kabinet dalam masa terdekat.
Rombakan itu dilaporkan akan membabitkan pengguguran tiga menteri ekoran prestasi yang tidak memberangsangkan sewaktu pengurusan bencana banjir.
Media melaporkan bahawa, dua daripada mereka adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), manakala seorang lagi daripada UMNO.
Sementara itu, Perdana Menteri dikhabarkan bakal mengadakan pertemuan dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.
Sumber dalaman UMNO berkata, rombakan Kabinet itu dijangka berlaku seawal bulan depan, namun ia tidak akan dilaksanakan secara besar-besaran.
Antara nama yang disebut mungkin menjadi calon digugurkan adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin.
Nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad juga dipetik berikutan peranannya yang dikatakan gagal dalam menangani bencana banjir yang melanda.
Bagaimanapun, sebuah portal tempatan yang memetik sumber terdekat dengan Ismail Sabri berkata, desas-desus itu adalah bersifat spekulasi.
“Laporan berkenaan hanya spekulasi. Bagaimanapun ia sebagai penggera (peringatan) kepada menteri supaya meningkatkan lagi prestasi supaya dapat memenuhi aspirasi rakyat.
“Soal ada rombakan ataupun tidak itu terpulang kepada perdana menteri,” katanya kepada portal tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan