HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

Seperti di Melaka, UMNO mungkin tidak bekerjasama dengan PAS: Mat Maslan


Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memberi isyarat tiada rundingan atau kerjasama dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan nanti selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ahmad berkata pendirian sama seperti yang berlaku dalam PRN Melaka mungkin akan berlaku dalam PRN Johor nanti, ia selepas PAS membuat keputusan sebelum ini masuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Belum ada sebarang keputusan dan tidak ada permintaan secara rasmi daripada PAS, kita melihat apa yang berlaku di Melaka.

“Setakat ini, itulah yang kita akan lakukan di Johor,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Ahmad bagaimanapun berkata UMNO sudah bersedia menghadapi cabaran pengundi baharu dalam PRN Johor dan tidak menolak kemenangan bergaya akan diulangi sama seperti di Melaka sebelum ini.

“Memang ia (pertambahan pengundi baharu) satu (perkara) yang mencabar tetapi dalam politik, cabaran itu adalah satu perkara yang kami kena hadapi.

“Ia tidak bererti hanya mencabar kepada UMNO tetapi juga kepada parti lain. Tidak semestinya bila kita sebut pengundi muda, dia akan sokong pembangkang dan pihak pembangkang pun tak boleh menyatakan pengundi muda mesti sokong mereka (kerana) semua parti melihat ini sebagai satu cabaran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata terdapat dua kategori pengundi baharu iaitu golongan berumur 18 hingga 20 tahun dan kategori berumur 21 tahun dan ke atas namun tidak pernah mengundi.

Terdahulu, Menteri Besar (MB) Datuk Hasni Mohammad petang tadi mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar petang dan mendapat perkenan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan PRN diadakan.

Baginda menandatangani watikah pembubaran DUN, menurut kenyataan dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, petang ini.

Menurut kenyataan itu, pada pertemuan berkenaan Hasni diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran DUN.

Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022.

Johor memiliki 56 kerusi DUN dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu), sementara AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian.

Tiada ulasan: