HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

UMNO Kelantan putus hubungan dengan PAS lepas jumpa Ismail Sabri


Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil keputusan memutuskan hubungan kerjasama dengan PAS negeri itu berkuat kuasa serta-merta, tatkala politik negara panas semula susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata keputusan yang dibuat itu setelah PAS Kelantan yang kekal menjalin kerjasama dengan Bersatu.

PAS dan Bersatu bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Badan Perhubungan UMNO Kelantan membuat keputusan itu setelah mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden parti itu yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kota Bharu, hari ini.

Petang tadi, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN Johor berkuat kuasa hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.

Baginda menandatangani watikah pembubaran DUN, menurut kenyataan dalam laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, petang ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Jazlan berkata walaupun tidak lagi bekerjasama dengan PAS, UMNO tetap memberi sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Sekiranya ada kaitan berkepentingan dengan asas agama, rakyat dan bangsa, kita (UMNO Kelantan) boleh duduk bersama (PAS),” katanya seperti dilapor BHOnline.

DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi dengan PAS memiliki 37 kerusi manakala selebihnya UMNO dan Bersatu.

Tiada ulasan: