HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Januari 2022

Setiausaha Politik Kit Siang pula mohon maaf kepada Najib

NAJA

Setiausaha Politik Kit Siang pula mohon maaf kepada Najib

SETIAUSAHA Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan tampil memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak kerana memberi komen berbaur fitnah di laman sosial.

Syahredzan merupakan individu kedua yang tampil berbuat demikian selepas Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri itu atas ketelanjuran memfitnahnya di laman sosial.

Syahredzan mengakui kesilapannya kerana memberi komen dalam satu hantaran berbaur fitnah di Twitter.

Peguam itu mengakui memberi komen dalam hantaran pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad dikenali Adam Mukhriz yang mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu mengeluarkan kenyataan negatif berhubung kesihatan Mahathir.

“Saya memberi komen di situ. Saya telah memadam komen berkenaan dan memohon maaf kepada anda (Najib) kerana menyangkakan perkara itu (hantaran jelik terhadap kesihatan Mahathir) adalah betul (dibuat di Facebook Najib),” katanya di Twitter.

Syahredzan membalas hantaran di Twitter Najib yang mendakwanya memberi respons terhadap dakwaan dibuat Adam itu.

Semalam, Noor Amin memohon maaf dan menyedari kekhilafannya akibat geram serta tanpa usul periksa dan percaya Najib telah membuat hantaran jelik yang dituju kepada Dr Mahathir.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri itu memberi amaran kepada Ahli Parlimen dari PKR agar memadam hantaran mengaitkan namanya berhubung isu kesihatan Mahathir.

Najib memberi amaran akan menyaman Noor Amin di ruangan komen laman Facebook (FB) wakil rakyat pembangkang itu selepas Amin membuat hantaran ‘Selamat jalan?’ dengan tangkap layar menunjukkan akaun FB Najib Razak berhubung kesihatan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu. – Malaysiapost

Tiada ulasan: