HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Januari 2022

UMNO TIDAK BOLEH PILIH KASIH

 Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Januari 2022 memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membela diri melibatkan pertuduhan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubalan wang haram adalah episod terkini proses perundangan yang dihadapi oleh beliau.

Meskipun proses perundangan melibatkan Ahmad Zahid masih belum berakhir, namun perintah oleh Mahkamah Tinggi semalam membuktikan wujudnya prima facie dalam pertuduhan yang dibicarakan di mahkamah.

Secara keseluruhannya, rakyat dan ahli akar umbi UMNO perlu menyerahkan kepada kebijaksanaan mahkamah melaksanakan proses perundangan sehingga ke peringkat tertinggi badan kehakiman di negara ini. Namun daripada perspektif politik semasa, imej dan kepercayaan terhadap Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang ahli politik serta Presiden UMNO semestinya terjejas dengan pertuduhan-pertuduhan kes yang dikenakan kepadanya.

Menyorot kembali perkembangan politik Ahmad Zahid selepas PRU-14 dan sepanjang perbicaraan di mahkamah, Presiden UMNO pernah didesak oleh pelbagai pihak termasuklah Pemuda UMNO dan kepimpinan parti pelbagai peringkat untuk bercuti menjalankan tugas Presiden parti. Desakan berkenaan muncul bagi memastikan UMNO tidak terpalit dengan pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi oleh Ahmad Zahid di mahkamah dan memberi peluang kepada beliau untuk menumpukan kesnya sepanjang perbicaraan di mahkamah.

Oleh demikian, Ahmad Zahid pada bulan Disember 2018 telah bertindak bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden dan Timbalannya, Mohamad Hasan telah memangku jawatan berkenaan untuk tempoh setahun. Tindakan Zahid pada ketika itu telah meredakan pergolakan dalaman UMNO melibatkan sayap-sayap parti dan pemimpin-pemimpin kanan berpengaruh yang mendesak beliau untuk bercuti.

Namun perkembangan terkini kes beliau di Mahkamah Tinggi pada 24 Januari 2022 sekali lagi merunsingkan akar umbi dan beberapa pemimpin UMNO terhadap kredibiliti ketua mereka dan imej parti yang semakin kian tercalar selagi UMNO diterajui oleh Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan perintah mahkamah tersebut, akar umbi dan pemimpin parti hari ini perlu kembali menyuarakan dan mengangkat semula keputusan Majlis Tertinggi UMNO (MKT) pada 29 Mei 2009 yang menerima syor Jawatankuasa Pengurusan parti iaitu menguatkuasakan peraturan iaitu seseorang yang dikenakan tuduhan di mahkamah, jawatannya dalam parti akan digantung.

Sekiranya dia berjaya dalam proses mahkamah, jawatan yang disandang akan dikembalikan. Keputusan MT ini jelas dan Ahmad Zahid Hamidi juga tidak boleh terlepas daripada dikenakan penggantungan jawatannya sebagai Presiden UMNO selagi proses perundangan di mahkamah tidak selesai.

Apatah lagi UMNO-BN sedang melalui proses kebangkitan semula menerusi pilihan-pilihan raya negeri dan semua sedang bersiap siaga berhadapan Pilihan raya Umum ke-15, maka sebarang elemen yang boleh melemahkan sokongan dan menghancurkan parti perlu ditangani segera oleh kepimpinan parti.

Adakah kerana beliau Presiden, UMNO takut untuk bertindak kepadanya dan kebal daripada sebarang tindakan disiplin sehingga boleh menjejaskan prestasi parti dalam mana-mana pilihan raya negeri atau umum? Adakah UMNO hari ini lebih mementingkan kelangsungan politik pemimpin daripada kelangsungan politik parti sehingga sanggup memperjudikan masa depan parti?

Budaya politik penaungan dalam UMNO seharusnya dihapuskan selepas berakhirnya PRU-14 yang lalu kerana ahli dan pemimpin parti perlu belajar daripada amaran yang telah diberikan oleh pengundi-pengundi dalam pilihan raya umum berkenaan untuk melihat parti tersebut berubah dan mempunyai aspirasi politik baru yang segar seperti parti-parti politik lain di negara ini.

Namun UMNO hanya berada dalam keadaan separuh sedar selepas PRU-14 dan masih meneruskan budaya lama tidak bertindak menangani kerosakan dalaman parti, membuka ruang kepada kritikan menerusi kelemahan-kelemahan sama sehingga boleh menjejaskan imej dan prestasinya.

UMNO tidak boleh mengambil tindakan terpilih hanya kepada ahli-ahli dan pemimpin tertentu sedangkan terdapat pemimpin seperti Ketua Bahagian UMNO Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang digantung jawatannya pada 16 April 2009 ketika proses perundangan ke atasnya masih berlangsung dan belum dijatuhkan hukum oleh mahkamah atas pertuduhan membuat kenyataan palsu.

Malah UMNO dilihat bertindak tegas mengatasi mahkamah dalam kes hanya perlanggaran peraturan parti melibatkan kes Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 17 Mac 2009 dengan melucutkan kelayakannya untuk bertanding dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden.

Sekiranya UMNO berani dan tidak mengamalkan double standard dalam pelaksananaan peraturan dan hukuman, maka parti tersebut perlu dengan segera bertindak terhadap sebarang kesalahan mencemarkan imej parti daripada sekecil-kecil kesalahan sehingga melibatkan kes-kes di mahkamah.

Malah UMNO perlu membandingkan imej Presidennya dengan ketua-ketua parti lain yang kebanyakannya tidak membebankan parti-parti dan akar umbi mereka dengan kes mahkamah bagi mendapat keyakinan rakyat untuk memilih parti mereka sebagai pemimpin dalam mana-mana pilihan raya negeri atau umum.

Namun jika ketua parti terbeban dengan pelbagai masalah dan kes mahkamah, parti perlu menanggung beban yang besar untuk menaikkan imej dan kredibiliti terlebih dahulu sebelum memasuki gelanggang pertandingan dalam mana-mana pilihan raya yang dianjurkan.

Dalam kontek perkembangan semasa perintah mahkamah melibatkan Ahmad Zahid Hamidi, pemimpin-pemimpin UMNO yang masih berjiwa besar dan sayang kepada parti perlu berani muncul ke hadapan membuka laluan perubahan kepada parti demi masa depan UMNO itu sendiri.

Dalam konteks politik moden hari ini, istilah menentang dan derhaka kepada pemimpin tidak lagi relevan kerana ahli akar umbi memerhati setiap tindak tanduk pemimpin yang menerajui parti dan memihak kepada kumpulan pemimpin yang berani menyatakan kebenaran.

Malah akar umbi UMNO akan melakukan protes senyap melalui saluran lain selain parti iaitu menerusi pilihan raya sebagai tanda menentang kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin mereka dan ketidakberanian sebilangan pemimpin dalam parti untuk melakukan perubahan serta menyatakan kebenaran.

UMNO hari ini tidak mempunyai pilihan, mengambil tindakan segera terhadap Ahmad Zahid Hamidi atau parti orang Melayu ini sekali lagi akan menghadapi nasib yang sama seperti PRU-14 yang lalu. MALAYSIA TODAY

(*) Penulis, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya.

Tiada ulasan: