HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Januari 2022

Akar umbi Bersatu sedia runding dengan PH, demi tumbangkan UMNO dan BN

Kerjasama dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sangat dialu-alukan demi menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang terlalu tamak berebut kuasa, kata pemimpin akar umbi Bersatu.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli memberi contoh formula tersebut boleh digunakan dengan menggabungkan semua parti termasuk Perikatan Nasional (PN), PH dan parti pembangkang lain dibawah satu gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Razrul berkata boleh diwujudkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) demi satu matlamat sama untuk mengelak daripada UMNO dan BN rakus berkuasa sehingga menyebabkan negara kembali ke era kleptokrasi seperti sebelum ini.

“Selain penggunaan nama MRJ, kita juga boleh namakan gabungan PN, PH dan parti pembangkang ini sebagai Gabungan Rakyat Johor atau GRJ seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang digunakan dalam PRN Sabah.

“Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor,” katanya dipetik dalam laporan media.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya membuka pintu rundingan dengan Bersatu bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi.

Selain itu, seorang lagi pemimpin Amanah yang juga bekas Ahli Jawatankuasanya, Mazlan Aliman berkata PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Kedua-duanya berpandangan langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang.

Untuk rekod, semasa berada dalam gabungan PH, Bersatu menang lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 17 kerusi yang ditandinginya, kebanyakkan calon Bersatu diletak melawan UMNO yang majoritinya pengundi Melayu.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan selepas Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor pada Sabtu.

PRN Johor terpaksa diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala PH pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

Tiada ulasan: