HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Januari 2022

PAS boleh kerjasama dengan PH hadapi UMNO dalam PRN Johor: Idris


Kerjasama PAS dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh dipertimbangkan, kata Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad.

Idris menjelaskan tidak menolak kemungkinan kerjasama tersebut sekiranya beberapa syarat dipenuhi sebelah parti pembangkang tersebut.

“Kita boleh dengan Amanah tapi dengan syarat dia tinggalkan DAP,” katanya ringkas dipetik laporan media.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman mencadangkan supaya kerjasama blok pembangkang diperluaskan kepada parti dalam Perikatan Nasional (PN) jika mahu menewaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor.

Berhubung persediaan PAS membariskan senarai calon menjelang PRN berkenaan, Idris berkata, perkara itu akan didedahkan pada hari penamaan calon.

“Tunggu sehingga penamaan calon… Dalam penamaan calon nanti awak tengok calonnya siapa. Saya bertanding sana ke atau macam mana,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu (PRU-14), hanya seorang wakil PAS Johor memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, iaitu Najib Lep di kerusi Bukit Pasir.

Awal hari ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya membuka pintu rundingan dengan Bersatu bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi.

Kedua-dua pemimpin tersebut berpandangan langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang.

Sementara itu, seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Naaman turut menyokong kerjasama antara PN dengan blok pembangkang dalam menghadapi keangkuhan dan kegopohan UMNO/BN dalam PRN Johor.

Beliau berkata, fokus seluruh rakyat khususnya para pengundi di Johor wajar disatukan bagi membenam Kluster mahkamah serta pihak yang mendukung golongan itu dalam UMNO.

“Yang mempersulitkan rakyat pada saat masalah penularan varian Omicron dan kegawatan ekonomi ini,” katanya.

Tiada ulasan: