HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Januari 2022

PRN Johor: Adun Pas Johor mahu kekalkan MN

MALAYSIA POST

PRN Johor: Adun Pas Johor mahu kekalkan MN

KESEPAKATAN melalui gabungan Muafakat Nasional (MN) yang telah terbentuk sejak 2019 antara Umno dan Pas merupakan hubungan silaturahim yang elok untuk diteruskan demi manfaat dan kebaikan pada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Pasir, Najib Lep, berpendapat ia bukan sahaja perlu diteruskan tetapi diusahakan lagi agar sentiasa bersefahaman serta bergandingan bahu dalam mengerjakan tanggungjawab bagi memastikan kehidupan bermasyarakat yang terbaik

“Memperlihatkan keadaan kita kini, di mana kemajuan, pembangunan dan kelestarian masyarakat masih merupakan faktor terpenting dalam mendepani perjalanan pembentukan negeri Johor di masa hadapan.

“Justeru itu, saya ingin membuka bicara pada kali ini untuk merungkaikan kepentingan-kepentingan bagi mengekalkan kesefahaman serta permuafakatan yang telah dipupuk dalam kalangan masyarakat sejak azali lagi.

“Permuafakatan itu jugalah yang telah membentuk sebuah payung yang dinamakan MN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau percaya MN akan teguh jika kedua-dua parti terus bersatu.

“Maka fahaman yang sama saya aplikasikan dalam situasi terkini di mana saya percaya bahawa masyarakat yang bersatu-padu dalam mencapai muafakat serta kata sepakat melalui gabungan MN yang telah terbentuk sejak 2019 merupakan hubungan silaturahim yang elok untuk diteruskan.

“Selari juga dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada kita dalam bentuk ajaran Al Quran serta As Sunnah.

“Dititikberatkan oleh Baginda Rasulullah bahawa kita haruslah bersatu padu dalam mencari redha dan keberkatan Allah SWT, terutama apabila membicarakan hal-hal kemasyarakatan serta menjaga silaturahim dan kebajikan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau yakin dan pasti dengan keyakinan serta istiqomah terhadap MN yang telah lama dibentuk, gabungan itu dapat mengusahakan lagi sebuah nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: